Isnin, 12 Februari 2024 | 3:16pm
Zii Jia jadi pertaruhan untuk kutip mata pada aksi BATC bermula esok.
Zii Jia jadi pertaruhan untuk kutip mata pada aksi BATC bermula esok.

Zii Jia serap ilmu, semangat Korea

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia harus membuktikan 'perguruan' di Korea Selatan meningkatkan corak permainannya apabila turun mengetuai skuad lelaki negara mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang bermula, esok.

Zii Jia yang baru kembali menjalani latihan intensif selama 10 hari di Korea jelas menjadi pertaruhan utama negara mengutip mata dan dia mengakui memperoleh banyak input yang bakal membantu pasukan di BATC kali ini.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di BATC selepas menjalani latihan yang baik di Korea.

"BKA (Persatuan Badminton Korea) melahirkan dua juara dunia (beregu lelaki dan beregu campuran), jadi dapat menjalani latihan bersama mereka... tentunya ia sesuatu yang amat menakjubkan.

"Mereka juga mempunyai fasiliti berkelas dunia dan saya gembira kerana mereka mengalu-alukan kehadiran saya." kata Zii Jia yang mengikuti kem latihan di BKA di Jincheon, Seol bermula 31 Januari sehingga 9 Februari lalu.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B dijadual membuka tirai kejohanan bertemu Brunei esok sebelum meneruskan saingan menentang Kazakhstan pada keesokan harinya.

Saingan terakhir peringkat kumpulan bakal menyaksikan skuad lelaki negara membuat perhitungan dengan lawan lebih sukar, Taiwan pada 15 Februari.

Untuk rekod, pada edisi 2022, Malaysia muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-0 dengan Zii Jia pada ketika itu menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo, 14-21, 21-12, 21-10.

Mata kedua negara diperoleh menerusi gandingan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-13, 21-18 sebelum Ng Tze Yong memuktamadkan kemenangan negara, menumpaskan Ikhsan Rumbay 21-14, 21-15.

"Taiwan mungkin tidak membawa barisan terkuat mereka tetapi mereka masih dibarisi Lin Chun Yi dan Lee Yang-Wang Chi Lin sebagai perseorangan pertama dan beregu pertama mereka. Tekanan itu tetap ada tetapi kita perlu mengatasinya," kata Zii Jia.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia

Esok

Lelaki

China mln Hong Kong, 1 tgh

Indonesia mln Kazakhstan, 1 tgh

Jepun mln Myanmar, 1 tgh

Malaysia mln Brunei, 5 ptg

Thailand mln Singapura, 5 ptg

Taiwan mln Kazakhstan, 5 ptg

Korea Selatan mln UAE, 5 ptg

Wanita

Thailand mln UAE, 9 pg

Jepun mln Singapura, 9 pg

Indonesia mln Kazakhstan, 9 pg

* Semua perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam

Berita Harian X