Isnin, 12 Februari 2024 | 2:35pm
Tze Yong dijangka diturunkan pada aksi pertama menentang Brunei pada saingan BATC esok.
Tze Yong dijangka diturunkan pada aksi pertama menentang Brunei pada saingan BATC esok.

Hendrawan 'tak simpan' Tze Yong

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan memberi bayangan Ng Tze Yong bakal diturunkan pada aksi pembuka tirai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 bertemu Brunei, esok.

Tze Yong yang mengalami kecederaan belakang sebelum ini dijangka diturunkan pada aksi pertama negara di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dengan Hendrawan mahu anak didiknya itu dapat memanaskan badan dan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

"Ini adalah kejohanan pertama Tze Yong. Cergas atau tidak, kita akan lihat perkembangannya dalam perlawanan pertama, di situ kita akan dapat lihat bagaimana (keadaannya).

"Perlawanan pertama bertemu Brunei, biasanya semua pemain utama akan main dan cuba menyesuaikan diri, apa pun strategi... nak turunkan siapa, pastinya setiap pemain perlu menggalas tanggungjawab masing-masing," kata Hendrawan.

Selain Brunei, skuad lelaki negara yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan akan berdepan Taiwan dan Kazakhstan dalam saingan Kumpulan B.

"Taiwan adalah lawan yang lebih sukar berbanding Brunei dan Kazakhstan tetapi jika kita muncul juara kumpulan, lawan di peringkat seterusnya pasti lebih mudah," kata Hendrawan.

Selain Tze Yong, turut menggalas cabaran skuad lelaki negara kali ini adalah pemain perseorangan profesional Malaysia, Lee Zii Jia, Eogene Ewe dan Leong Jun Hao manakala dalam acara beregu diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Dalam pada itu, Tze Yong nyata teruja untuk memikul tanggungjawab pasukan terutama selepas dihantui isu kecederaan di PETRONAS Terbuka Malaysia, bulan lalu.

"Setiap mata amat penting dalam pasukan. Ini kerana jika saya dapat mata dan mendahului lawan, rakan sepasukan boleh beraksi tanpa tekanan," kata Tze Yong yang turut menganggotai pasukan pada edisi 2022 ketika skuad lelaki negara muncul juara.

Berita Harian X