Jumaat, 9 Februari 2024 | 3:30pm
Aaron-Wooi Yik makan malam sempena Tahun Baharu Cina bersama rakan sepasukan. Foto IG Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik makan malam sempena Tahun Baharu Cina bersama rakan sepasukan. Foto IG Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik harap tuah Tahun Naga

KUALA LUMPUR: Faktor usia yang semakin meningkat membuatkan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di Sukan Olimpik Paris tahun ini dalam misi memenangi pingat emas pertama Malaysia.

Justeru, Aaron-Wooi Yik yang masing-masing berusia 27 dan 26 tahun mengharapkan kedatangan Tahun Naga sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini akan 'merestui' perjuangan mereka bagi merealisasikan impian berkenaan.

"Sudah tentu harapan besar kami adalah di Olimpik Paris. Kami sedia untuk berkorban apa sahaja bagi melakukan persiapan terbaik menghadapi temasya itu nanti.

"Dari satu sudut, kami pun bukan muda lagi dan kami tidak boleh ramal apa yang akan berlaku selepas Olimpik Paris tahun ini. Jadi, kami mahu memanfaatkan peluang yang ada sebaiknya.

"Kami akan berjuang habis-habisan, dapat atau tidak (menang emas) itu semua bergantung kepada rezeki. Apa yang paling penting kami buat yang terbaik di Olimpik Paris nanti," kata Aaron kepada BH Sukan.

Aaron-Wooi Yik yang berada di kedudukan ranking nombor lima dunia adalah prospek utama kontinjen Malaysia bagi memenangi pingat emas di Paris.

Tiga tahun lalu di Olimpik Tokyo 2020, mereka berjaya menyumbang gangsa buat Malaysia pada penampilan pertama di temasya terbesar dunia itu.

Aaron-Wooi Yik kemudiannya mengukuhkan reputasi mereka apabila mencipta sejarah menjadi wakil pertama negara yang merangkul kejuaraan dunia juga di Tokyo pada 2022.

Pasangan itu turut menamatkan penantian mereka bagi muncul juara dalam saingan Jelajah Dunia BWF buat kali pertama sejak digandingkan pada 2017 apabila menjuarai Terbuka Denmark, tahun lalu.

Dalam pada itu, Aaron mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia dan memohon semua untuk terus memberi sokongan padu kepada perjuangan mereka terutamanya di Olimpik Paris.

"Saya juga mendoakan semua sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan kita semua diberkati," katanya yang pulang ke kediaman keluarganya di Melaka bagi menyambut Tahun Baharu Cina kali ini.

Berita Harian X