Jumaat, 2 Februari 2024 | 5:57pm
Eogene disenaraikan bagi membantu skuad badminton negara di BATC. - Foto ihsan BAM
Eogene disenaraikan bagi membantu skuad badminton negara di BATC. - Foto ihsan BAM

Eogene sedia balas kepercayaan terpilih ke BATC

KUALA LUMPUR: Bintang muda sedang meningkat naik, Eogene Ewe mahu membalas kepercayaan barisan jurulatih selepas disenaraikan dalam skuad untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu yang berada pada kedudukan ranking paling rendah iaitu ke-312 dunia, dipilih berbanding beberapa seniornya seperti Aidil Sholeh Ali Sadikin untuk mengisi satu daripada empat slot perseorangan lelaki bersama Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, dan Leong Jun Hao.

Eogene dijangka diturunkan sekurang-kurangnya satu perlawanan peringkat kumpulan terutamanya aksi menentang Brunei dan Kazakhstan.

Namun, dia juga perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi diturunkan andai mana-mana daripada tiga pemain utama mengalami kecederaan.

Selain Brunei dan Kazakhstan, Malaysia turut diundi bersama Taiwan dalam Kumpulan B.

Tze Yong masih pulih daripada kecederaan belakang yang dialami ketika Terbuka Malaysia, awal bulan lalu manakala Jun Hao sebelum ini sering dihantui dengan kecederaan.

Jika dia perlu mengisi perseorangan ketiga, Eogene mungkin akan menentang pemain seperti bekas pemain No. 1 dunia K Srikanth dari India, Lei Lan Xi dari China dan juara dunia remaja dunia, Alwi Farhan.

"Ini adalah peluang yang diberikan oleh jurulatih kepada saya. Mungkin kerana mereka mahu membentuk pemain muda, jadi mereka menyenaraikan saya dalam pasukan.

"Bagaimanapun, ia bukan satu tugas yang mudah untuk saya. Ini kali pertama saya beraksi dalam acara kejohanan besar seperti ini, jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan satu mata jika saya diturunkan.

"Adalah satu penghormatan besar untuk menjadi sebahagian daripada skuad BATC kerana bagi saya, pemain lain yang dalam lingkungan umur saya ialah Alwi Farhan dari Indonesia.

"Saya berharap dapat berpeluang bermain di BATC, mungkin semasa perlawanan menentang Kazakhstan," kata Eogene.

Eogene berkata peralihannya ke pasukan senior berjalan lancar dan dia teruja untuk mengharungi ujian pertamanya di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka yang bermula Isnin ini.

Berita Harian X