Selasa, 30 Januari 2024 | 1:18pm
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berharap skuad lelaki menggembirakan peminat dengan mempertahankan kejuaraan BATC 2024.
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berharap skuad lelaki menggembirakan peminat dengan mempertahankan kejuaraan BATC 2024.

Harapan cerah ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Laluan untuk pasukan lelaki negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 tampak cerah berdasarkan undian yang berlangsung hari ini.

Dalam majlis undian itu, Malaysia diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam Kumpulan B dan ia memberi kelegaan buat kem negara sebelum saingan membuka tirainya di Shah Alam, Selangor pada 13 Februari ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap tuah selaku tuan rumah sekali lagi diharap turut membantu mereka untuk mempertahankan kejuaraan.

"Malaysia sebagai tuan rumah dan saya ada memberitahu pemain supaya fokus memberikan peminat dan negara rasa bangga. Selain itu, saya juga memberitahu mereka supaya berjuang sebaik mungkin.

"Saya harap pemain dapat melakukan yang terbaik selepas tidak beraksi dengan baik di Terbuka Malaysia. Harap pada kejohanan ini, mereka membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada negara," kata Rexy selepas majlis undian berkenaan.

Pasukan lelaki negara akan diketuai pemain perseorangan profesional lelaki, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Untuk beregu pula, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Choong Hon Jian-Haikal Nazri diharap dapat membutirkan mata.

"Kita sudah persiapkan pemain dengan baik. Ada beberapa pemain seperti Justin Hoh... dia cedera pada saat akhir dan kita terpaksa gantikan dengan Jun Hao.

"Saya harap pemain lelaki kita kuat... Zii Jia sebagai tonggak untuk pasukan, kemudian Jun Hao, Tze Yong dan Eogene dan (beregu) Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Nur Izzuddin dan Hon Jian-Haikal," kata Rexy.

Untuk rekod, pasukan lelaki negara mencipta kejutan pada edisi 2022 apabila muncul juara buat kali pertama sejak kejohanan dianjurkan pada 2016 selepas menewaskan Indonesia 3-0.

Dalam pada itu, pasukan wanita negara diundi dalam Kumpulan Y yang disifatkan Rexy agak sengit memandangkan ia disertai Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Untuk wanita, kita kena realistik. Bagi perseorangan, agak sengit untuk menentang Thailand, jadi tiga pemain wanita kita harus cuba mendapatkan satu mata. Beregu pula untuk menentang Thailand, 50-50.

"Daripada rekod pertemuan Pearly Tan-M Thinaah dengan beregu utama Thailand, mereka (lawan) selalu mengalahkan kita. Jadi harap kita dapat berada di atas dan mengelak pertemuan dengan China atau sesiapa pun di atas nanti," kata Rexy.

Pasukan wanita disertai pemain perseorangan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching manakala beregu diwakili Pearly-Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Info

Undian lelaki

Kumpulan A

China

India

Hong Kong

Kumpulan B

Malaysia

Taiwan

Kazakhstan

Brunei

Kumpulan C

Jepun

Thailand

Singapura

Myanmar

Kumpulan D

Indonesia

Korea Selatan

UAE

Arab Saudi

Undian wanita

Kumpulan W

China

India

Kumpulan X

Indonesia

Hong Kong

Kazakhstan

Kumpulan Y

Thailand

Malaysia

UAE

Kumpulan Z

Jepun

Taiwan

Singapura

Berita Harian X