Jumaat, 26 Januari 2024 | 4:49pm
Skuad badminton negara ketika menjuarai BATC dua tahun lalu. ASWADI ALIAS
Skuad badminton negara ketika menjuarai BATC dua tahun lalu. ASWADI ALIAS

Saingan BATC 2024 berbeza - Rexy

KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara dijangka berdepan laluan berliku dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 dari 13 hingga 18 Februari ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata saingan BATC kali ini menjanjikan cabaran berbeza berbanding dua tahun lalu ketika Malaysia muncul juara buat kali pertama.

Katanya, ini kerana pasukan gergasi Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan dan India dijangka menyenaraikan barisan terkuat pada kejohanan itu yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Persaingan kali ini tidak sama dengan dua tahun lepas, ini kerana ketika ini semua pasukan dalam pecutan terakhir dan mereka akan menghantar pemain terbaik untuk mengukuhkan kedudukan mereka (untuk layak ke Olimpik).

"Saya percaya semua jurulatih sudah belajar setiap kekuatan pasukan lawan dan kini terserah kepada jurulatih masing-masing untuk mempersiapkan pemain mereka untuk bersaing di BATC 2024 ini," katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain BATC di ABM di sini, hari ini.

Terdahulu, Rexy mengumumkan senarai pemain lelaki dan wanita negara yang akan beraksi pada saingan BATC kali ini dengan empat pemain perseorangan lelaki diketuai Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Justin Hoh dan Eugen Owe.

Beregu negara pula akan dibarisi oleh gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikan Nazri.

Bagi skuad wanita pula empat pemain perseorangan dipertaruhkan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching manakala beregu dibarisi Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Dalam pada itu, Rexy turut berharap agar Zii Jia dapat mengekalkan momentumnya selepas mara ke suku akhir pada Terbuka India dan Masters Indonesia yang sedang berlangsung ketika ini selain meletakkan keyakinan agar Tze Yong dapat menampilkan aksi terbaik biarpun dihimpit masalah kecederaan.

"Kita hadir dengan pasukan yang kuat terutama kehadiran Zii Jia yang sudah dapat momentum terbaik ketika ini. Kita harap Ng Tze Yong juga dapat memberikan terbaik.

"Jika Zii Jia dan Tze Yong dapat buat terbaik, saya rasa pemain beregu kita juga mampu lakukan terbaik di BATC," katanya.

Berita Harian X