Rabu, 24 Januari 2024 | 9:04pm
Lee Zii Jia ketika beraksi pada PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil, baru-baru ini. - NSTP/ASWADI ALIAS
Lee Zii Jia ketika beraksi pada PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil, baru-baru ini. - NSTP/ASWADI ALIAS

Zii Jia lepasi halangan pertama Masters Indonesia

KUALA LUMPUR: Perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia bakal membuat perhitungan dengan pemain dari Hong Kong, Ng Ka Long pada pusingan kedua Masters Indonesia 2024 esok.

Zii Jia yang terkandas di suku akhir Terbuka India minggu lalu mara ke pusingan kedua selepas terpaksa mengerah keringat beraksi dalam tiga set sebelum menundukkan pemain India, Srikanth Kidambi 19-21, 21-14, 21-11, hari ini.

Di atas kertas, Zii Jia yang berada diranking ke-10 dunia mungkin berdepan laluan berliku untuk menewaskan Ka Long dengan rekod enam pertemuan sebelum ini memihak kepada pemain Hong Kong itu dengan 4-2.

Malah pada aksi terakhir mereka di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, Zii Jia turut terpaksa 'bermandi peluh' apabila perlu mengheret perlawanan ke set ketiga sebelum meraih kemenangan 15-21, 21-15, 21-16.

Dalam pada itu, turut mara ke pusingan kedua adalah Leong Jun Hao yang mengejutkan pemain diranking ke-11 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-17, 21-17.

Jun Hao yang berada diranking ke-37 dunia dijadual mengharungi pusingan kedua menentang pilihan ketiga yang juga wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting, esok.

Ginting melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen 21-13, 21-15.

Sebagai rekod, Ginting yang berada diranking keempat dunia memenangi pertembungan sulung dengan Jun Hao di Terbuka Hong Kong tahun lalu dengan keputusan 14-21, 11-21.

Berita Harian X