Rabu, 24 Januari 2024 | 4:51pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS

Hanya Aaron-Wooi Yik mampu dapatkan pingat Olimpik

KUALA LUMPUR: Masih samar buat Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk melihat barisan pemain negara yang mampu bersaing bagi menjelmakan pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Temasya terbesar dunia itu dijadual berlangsung pada Julai depan namun setakat beberapa kejohanan yang disertai bagi musim 2024, Rexy mengakui hanya pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memiliki peluang paling hampir.

"Setakat ini, keyakinan dari pemain untuk berjuang mendapatkan pingat di Olimpik (selain Aaron-Wooi Yik)... tak nampak. Dari Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

"Mungkin sebab ia bakal menjadi Olimpik pertama buat mereka berdua. Namun apabila sudah layak ke Olimpik nanti, saya harap motivasi dan kepercayaan diri mereka itu menjadi lebih baik lagi dan mereka menjadi pencabar untuk pingat," kata Rexy.

Selepas berakhirnya dua kejohanan awal musim 2024 iaitu di Terbuka Malaysia dan India, Rexy turut mengakui yang Tang Jie-Ee Wei berada di bawah prestasi mereka sekiranya hendak dibandingkan apa yang dicapai mereka di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, Disember lalu.

Dalam pada itu, Rexy turut memaklumkan yang Aaron-Wooi Yik akan memberi tumpuan kepada kejohanan bertaraf Super 1000 dan 750 selepas berakhirnya saingan di India, minggu lalu.

"Jadual mereka hanya sampai di India, mereka akan fokus kepada 1000 dan 750 dan kita mahu mereka lebih baik lagi di Seluruh England (pada Mac di Birmingham, England) nanti," kata Rexy.

Berita Harian X