Isnin, 22 Januari 2024 | 6:22pm
Antara peserta yang menyertai Kejohanan Badminton Remaja NCT di Melaka, baru-baru ini.
Antara peserta yang menyertai Kejohanan Badminton Remaja NCT di Melaka, baru-baru ini.

Kejohanan Badminton Remaja NCT semarakkan pembangunan akar umbi

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Remaja NCT disifatkan mampu menjadi platform terbaik dalam memperkasa pembangunan badminton dari akar umbi khususnya menerusi pembabitan pemain berusia 9 hingga 15 tahun.

Berlangsung selama tiga hari di Melaka, sebanyak 509 bakat muda tanah air bersaing hebat dalam 14 kategori yang menyaksikan pemenang akan layak ke pusingan akhir di Kuala Lumpur pada Jun ini.

Manakala pemenang bagi setiap kategori bawah-15 pula mendapat 'durian runtuh' apabila mengesahkan tiket mereka ke Paris untuk menyaksikan Sukan Olimpik pada bulan Ogos.

Sebagai rekod, NCT Alliance menjalin kerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) bagi membentuk siri kejohanan badminton peringkat nasional termasuk kejohanan berprestij Road to NCT Junior Badminton Championship dalam misi mencungkil bakat-bakat baru yang mampu menjadi juara di masa hadapan.

Penganjur kejohanan, Datuk Seri Yap Ngan Choy mengakui pertandingan ini sebagai salah satu inisiatif mereka bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat dalam badminton yang mampu menggalas cabaran negara pada masa akan datang.

"Komitmen kami terhadap pemerkasaan bakat-bakat muda melangkaui tajaan peribadi. Ini termasuk menyediakan platform untuk bakat-bakat generasi baru menyinar dan meningkat maju.

"Kejohanan Road to NCT Junior Badminton Championship ini adalah bukti komitmen dan dedikasi kami terhadap usaha membentuk masa depan badminton negara," kata Ngan Choy.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi NCT Alliance, Chau Chun Hoo pula berkata syarikat itu berhasrat memainkan peranan mereka dalam meningkatkan standard badminton negara selain membentuk komuniti yang sihat.

"Ini adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial (CSR) kami dan halatuju umum dalam apa sahaja yang kami lakukan. Saya berharap kita boleh mengembangkan kejohanan seperti ini untuk diadakan di seluruh negara pada masa hadapan.

"Saya juga merasakan semua pemain sangat teruja dan mempamerkan keinginan yang tinggi untuk bermain dalam kejohanan ini dan ini menjadikannya berbaloi untuk kita menyediakan platform untuk mereka," katanya.

habis

Berita Harian X