Ahad, 21 Januari 2024 | 11:59am
Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas di tangan beregu nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada separuh akhir Terbuka India malam tadi. – Foto X BWF Media
Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas di tangan beregu nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada separuh akhir Terbuka India malam tadi. – Foto X BWF Media

Aaron kecewa gagal ke final Terbuka India

KUALA LUMPUR: Terkandas pada separuh akhir Terbuka India 2024 di New Delhi nyata menimbulkan rasa kecewa buat pemain beregu utama lelaki negara, Aaron Chia.

Pemain berusia 26 tahun itu bersama pasangannya Soh Wooi Yik terpaksa melupakan hasrat ke final di Dewan Tertutup K D Jadhav buat tahun kedua berturut-turut apabila ditewaskan lawan dari India yang berada di ranking kedua dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 18-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Bagi Aaron, dia dan Wooi Yik sudah mempamerkan aksi yang baik pada set pertama namun nasib tidak begitu memihak kepada mereka terutama di set kedua yang menyaksikan matanya terkena pukulan 'smash' pemain lawan.

"Saya rasa semuanya OK," kata Aaron ketika ditanya mengenai keadaan matanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Saya rasa ia tidak memberi kesan secara keseluruhannya (di set kedua) tetapi sedikit sahaja.

"Saya fikir, kami sudah memulakan permainan dengan baik pada set pertama namun di set kedua ia tidak terlalu memihak kepada corak permainan kami, jadi ia satu kekurangan buat kami ketika menentang mereka."

Berdasarkan rekod 10 pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia mempunyai kelebihan ke atas Rankireddy-Shetty dengan memperoleh lapan kemenangan berbanding lawan hanya dua kemenangan.

Aksi separuh akhir semalam juga secara tidak langsung membolehkan beregu dari India itu memperoleh kemenangan ketiga mereka dengan sebelum ini turut menumpaskan Aaron-Wooi Yik pada separuh akhir Sukan Asia Hangzhou dan final Terbuka Indonesia 2023.

Pada edisi Terbuka India tahun lalu, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara apabila tewas di tangan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-14, 19-21, 18-21.

Berita Harian X