Jumaat, 19 Januari 2024 | 5:20pm
Tze Yong (kanan) alami kecederaan otot belakang ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu. NSTP/EFFENDY RASHID
Tze Yong (kanan) alami kecederaan otot belakang ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu. NSTP/EFFENDY RASHID

Tze Yong perlu berehat lagi

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong 'berperang' dengan masa dalam usahanya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas terlepas aksi Terbuka India yang sedang berlangsung ketika ini, pemain ranking ke-14 dunia itu disahkan tidak akan menyertai dua lagi kejohanan iaitu Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan Terbuka Thailand (30 Januari hingga 4 Februari).

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan otot tulang belakang dialaminya ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu.

"Ada perkembangan positif yang ditunjukkan dalam proses pemulihan yang dilalui Tze Yong tetapi pasukan perubatan tidak mahu terburu-buru untuk membenarkan dia kembali ke gelanggang.

"Jadi, kita buat keputusan untuk dia tarik diri di Masters Indonesia dan Masters Thailand bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan," kata Rexy kepada BH Sukan.

Menurut Rexy, Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijangka kembali ke gelanggang bermula di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor dari 13 hingga 18 Februari depan.

Selepas aksi di BATC, Tze Yong akan mengharungi jadual yang padat sehingga April depan apabila dia perlu menyertai kejohanan berturut-turut di Eropah dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sekurang-kurangnya dia perlu bermain empat kejohanan di Eropah dan satu Kejohanan Asia (individu) pada April. Kejohanan mana yang dia akan beraksi di Eropah nanti akan ditentukan oleh jurulatihnya (Hendrawan)," kata Rexy.

Tze Yong menerima tamparan di Terbuka Malaysia apabila terpaksa menarik diri ketika set pertama pada pertemuan menentang wakil Jepun, Koki Watanabe susulan kecederaan belakang dialaminya selepas melakukan pukulan 'smash'.

Ketika ini, dia berada di kedudukan ke-13 dalam ranking kelayakan ke Olimpik, ketinggalan dua anak tangga di belakang pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Setiap negara boleh mempunyai maksimum dua wakil dalam acara perseorangan lelaki sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan pada hujung April depan.

Berita Harian X