Ahad, 14 Januari 2024 | 5:48pm
Pemain Denmark, Anders Antonsen meraikan kejayaan memenangi Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain Denmark, Anders Antonsen meraikan kejayaan memenangi Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS

Antonsen raih hampir setengah juta ringgit

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki Denmark, Anders Antonsen mencipta sejarah apabila merangkul gelaran pertama di PETRONAS Terbuka Malaysia, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas dia mengejutkan pemain nombor enam dunia dari China, Shi Yu Qi 21-14, 21-13 pada aksi final yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan Antonsen mengekalkan dominasi Denmark dalam acara perseorangan lelaki buat kali ketiga berturut-turut di kejohanan Super 1000 itu selepas dua edisi sebelum ini dimenangi rakan senegaranya yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Selaku juara, Antonsen membawa pulang hadiah wang tunai bernilai - AS$91,000 (RM422,877) selain trofi manakala Yu Qi menerima AS$44,200 (RM205,397).

Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se Young turut mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain Korea Selatan pertama muncul juara dalam acara itu selepas menewaskan jaguh Taiwan, Tai Tzu Ying di pentas final.

Pemain perseorangan wanita Korea, An Se Young meraikan kejayaan menewaskan pemain Taiwan, Tai Tzu Ying pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS

Juara dunia itu membuktikan reputasinya apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 10-21, 21-10, 21-18 dalam pertarungan yang berlangsung 58 minit.

"Saya sangat gembira apabila dapat memenangi kejuaraan pertama untuk Korea dalam acara perseorangan di Terbuka Malaysia.

"Namun, apa yang paling penting adalah saya dapat memulakan musim baharu dengan kemenangan. Sudah tentu ini akan menjadi motivasi untuk saya menghadapi kejohanan seterusnya apatah lagi tahun ini adalah Sukan Olimpik (di Paris)," katanya.

Dalam acara beregu wanita, kejuaraan menjadi milik Liu Sheng Shu-Tan Ning yang mengatasi rakan senegara, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18.

Beregu wanita Cina, Liu Sheng Shu-Tan Ning menewaskan rakan senegaranya Zhang Shu-Zheng Yu pada final Kejohanan Super 1000, PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS

Saingan beregu campuran pula menyaksikan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menepati ramalan untuk merekodkan kejuaraan pertama mereka di Terbuka Malaysia selepas menewaskan Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-18, 21-15.

Juara bagi acara beregu meraih AS$96,200 (RM447,041) manakala naib juara AS$45,00 (RM209,115).

Berita Harian X