Jumaat, 12 Januari 2024 | 10:53pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang pemain Korea, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang pemain Korea, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS

Tiada lagi wakil negara di PETRONAS Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia di PETRONAS Terbuka Malaysia berakhir selepas wakil terakhir negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumbang di suku akhir, sebentar tadi.

Beregu lelaki nombor satu negara itu terpaksa akur dengan kehebatan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae apabila tewas dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 64 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Aaron-Wooi Yik bermula garang pada aksi set pertama dengan menampilkan permainan agresif untuk mengawal dan memenangi perlawanan 21-16.

Bagaimanapun, set kedua menyaksikan bekas juara dunia itu sedikit hilang fokus yang membolehkan pihak lawan menang 21-18 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Malaysia Open 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. - NSTP/Aswadi Alias
Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Malaysia Open 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. - NSTP/Aswadi Alias

Aksi set ketiga menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pasangan pada awal permainan namun selepas waktu rehat, Aaron-Wooi Yik dilihat banyak melakukan kesilapan mudah sekali gus membuka ruang buat lawan mengutip mata dan memenangi perlawanan dengan keputusan 21-13.

Kekalahan Aaron-Wooi Yik menyaksikan tiada lagi wakil Malaysia pada edisi kali ini selepas satu lagi beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut tewas di suku akhir selepas tunduk di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Ini adalah edisi kedua berturut-turut Malaysia tidak mempunyai wakil layak beraksi di separuh akhir selepas turut mengalami nasib sama pada edisi tahun lalu dengan pencapaian terbaik menerusi Ee Yi-Yew Sin dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di suku akhir.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tewas kepada Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Malaysia Open 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. - NSTP/Aswadi Alias

Aaron-Wooi Yik tahun lalu ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua.

Menanti Min Hyuk-Seo Seung Jae di separuh akhir esok adalah pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang mara selepas menewaskan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China 21-11, 21-8.

Satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang menentang Hoki-Kobayashi.

Berita Harian X