Khamis, 11 Januari 2024 | 6:24pm
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong mengalami kecederaan ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong mengalami kecederaan ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS

BAM rangka 'pelan B' buat Tze Yong

KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan badminton negara akan bersedia dengan 'pelan B' sekiranya pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong tidak dapat menyertai Terbuka India minggu depan bagi memastikan dia kekal di landasan tepat untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penyertaan Tze Yong di Terbuka India dari 16 hingga 21 Januari ini mencetuskan persoalan selepas mengalami kecederaan belakang yang menyaksikan dia terpaksa menarik diri di pusingan pertama PETRONAS Terbuka Malaysia.

Pemain ranking ke-15 dunia itu hanya sempat turun ke gelanggang selama 13 minit ketika berdepan pemain Jepun, Koki Watanabe sebelum dia memutuskan menarik diri ketika ketinggalan 8-12 di set pertama susulan kecederaan dialaminya itu.

"Kalau Tze Yong terpaksa menarik diri di Terbuka India, ini bermakna dia sudah terlepas dua kejohanan awal pada tahun ini. Jadi, jurulatih akan menyusun semula jadual kejohanan untuk dia sebelum kejohanan kelayakan Olimpik terakhir di Kejohanan Badminton Asia (April).

"Ini penting untuk kita memastikan dia kekal di landasan untuk layak ke Sukan Olimpik," kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock, berkata doktor akan memaklumkan perkembangan mengenai tahap kecederaan Tze Yong esok sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam kejohanan akan datang.

"Selepas tamat perlawanan semalam, memang dia ada jumpa doktor dan lakukan imbasan tetapi belum terperinci. Jadi, kita akan tunggu doktor berhubung situasi Tze Yong.

"Sebelum ini pun memang ada rasa sakit-sakit badan, namun itu perkara biasa untuk atlet kerana sering menjalani latihan, cuma sekarang kita nak tahu sama ada ia kecederaan otot atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X