Sabtu, 6 Januari 2024 | 6:05pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Jurulatih sasar Aaron-Wooi Yik cemerlang tahun ini

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen akan mencurahkan segala yang ada dalam dirinya bagi membantu Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi pasangan nombor satu dunia dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, dua perkara itu sememangnya adalah sasaran utama musim ini dan dia akan memastikan kedua-dua pemain berkenaan melalui persiapan terbaik untuk mereka mengharungi setiap kejohanan.

"Itu adalah sasaran utama untuk tahun ini. Aaron pun sudah cakap mengenai perkara ini sebelum ini.

"Bagi saya apa yang paling penting adalah persiapan itu perlu ada, kita tidak boleh cakap 100 peratus boleh menang tetapi apa yang pasti sasaran adalah untuk mereka jadi nombor satu dunia dan Sukan Olimpik," katanya.

Menurut Bin Shen, untuk mencapai sasaran berkenaan, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking nombor empat dunia perlu konsisten menampilkan corak permainan agresif dan tidak sesekali memberi ruang kepada lawan untuk menguasai mereka.

Dia menyifatkan ia adalah elemen utama untuk bekas juara dunia itu mencipta sensasi pada musim 2024 termasuk saingan PETRONAS Terbuka Malaysia yang bermula Selasa ini.

"Semua orang mahu menang tetapi bagaimana cara kita nak menang? Yang pertama sudah pasti persiapan kita perlu 100 peratus dari segi mental dan fizikal.

"Selain itu, jika kita berdepan lawan dalam perlawanan yang sengit, kita tidak boleh beri ruang langsung kepada lawan, jika tidak ia akan beri kelebihan kepada mereka.

"Beri ruang di waktu genting adalah penentu kalah atau menang dalam sesuatu perlawanan. Kalau sekadar tanamkan dalam diri hanya mahu menang tetapi tidak menjaga perkara itu bagaimana mahu mencatatkan kemenangan.

"Baik dari pemain mahupun jurulatih kita harus pegang kuat perkara itu. Kalau mereka mula memperlahankan rentak, fikiran sudah melayang pasangan lawan akan mengawal perlawanan," katanya.

Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan Terbuka Malaysia menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama.

Berita Harian X