Jumaat, 5 Januari 2024 | 2:57pm
Rexy Mainaky (tengah) bersama Hendrawan Sugianto (kiri) dan Ng Tze Yong pada sidang media skuad badminton negara menjelang saingan Terbuka Malaysia di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. NSTP/ASWADI ALIAS
Rexy Mainaky (tengah) bersama Hendrawan Sugianto (kiri) dan Ng Tze Yong pada sidang media skuad badminton negara menjelang saingan Terbuka Malaysia di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. NSTP/ASWADI ALIAS

Sabar, beri masa kepada Tze Yong - Hendrawan

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Hendrawan meminta semua pihak bersabar dan memberikan masa kepada anak didiknya, Ng Tze Yong untuk menjadi pemain yang muncul juara secara konsisten.

Tze Yong, 23, menunjukkan peningkatan prestasi yang positif sepanjang saingan musim 2023 apabila secara konsisten mara ke suku akhir dan beberapa kali mengejutkan pemain utama dunia termasuklah pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen ketika Seluruh England, Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, dia masih kempunan untuk bergelar juara dalam saingan Jelajah Dunia dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara Terbuka Artik di Finland pada Oktober tahun lalu.

Menurut Hendrawan, sukar untuk dia memberi jawapan mengenai bila masanya pemain itu akan merangkul gelaran juara tetapi menegaskan sedang berusaha untuk melonjakkan lagi prestasi Tze Yong.

"Ada peningkatan yang ditunjukkan Tze Yong (sepanjang saingan 2023). Kalau tengok Tze Yong, dia ada kemahiran dan sebab itu dia boleh beri tentangan dan buat kejutan menewaskan pemain utama dunia.

"Namun, itu semua perlu dilakukan secara konsisten bagi memenangi perlawanan secara berturut-turut.

"Ini yang kami sedang lakukan untuk menjadikan permainannya lebih stabil," kata Hendrawan ketika sidang media menjelang saingan PETRONAS Terbuka Malaysia yang bermula Selasa ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Menurut Hendrawan, fokus utama ketika ini adalah tertumpu bagi meningkatkan tahap fizikal dan kecergasan Tze Yong yang disifatkan masih kurang dalam diri pemain ranking ke-15 dunia berkenaan.

"Proses untuk membina Tze Yong dari aspek karakter, kekuatan dan tahap kecergasannya memerlukan masa. Sekarang semua orang pun boleh nampak kekurangannya dari aspek kekuatan dan tahap kecergasannya.

"Dalam kita mahu cepat, saya juga perlu jaga dalam aspek kecederaan. Ini juga yang menjadi kebimbangan saya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky, berkata pihaknya sudah merangka program latihan khusus buat Tze Yong bagi meningkatkan lagi tahap kecergasan dan fizikalnya dengan bimbingan jurulatih fizikal berpengalaman, Mohd Roesdy Abd Ghani.

"Roesdi adalah bekas jurulatih fizikal Chong Wei, jadi kita harap dengan pengalaman dimilikinya dia boleh menilai tahap fizikal Tze Yong dan bagaimana cara untuk meningkatkannya," kata Rexy.

Tze Yong akan memulakan kempen di Terbuka Malaysia menentang pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama.

Berita Harian X