Ahad, 24 Disember 2023 | 5:10pm
Egone sasar kelompok 100 terbaik dunia.
Egone sasar kelompok 100 terbaik dunia.

Eogene tekad balas kepercayaan Hendrawan

KUALA LUMPUR: Pemain badminton muda negara, Eogene Ewe menghargai peluang diberikan barisan kejurulatihan yang menyenaraikannya dalam Kumpulan A bagi kem perseorangan lelaki.

Kepercayaan diberikan kejurulatihan itu bagi Eogene, adalah sebagai satu motivasi dan proses untuk melangkah lebih jauh dalam pembentukan kariernya.

Justeru, pemain berusia 18 tahun yang dinaikkan pangkat ke skuad senior berkenaan meletak harapan tinggi untuk melakukan yang terbaik dan cuba meletakkan dirinya berada dalam kelompok ranking 100 terbaik dunia.

"Prestasi tahun ini saya boleh simpulkan sebagai bagus, lebih baik berbanding tahun lalu tetapi masih belum mencapai sasaran saya. Saya rasa boleh lebih baik lagi.

"Sasaran saya adalah untuk membina konsistensi dan dapatkan sebanyak mana kutipan mata untuk menaikkan ranking saya seperti berada dalam kelompok 100 atau 50 terbaik.

"Saya dapat rasakan yang tahun depan akan menjadi tahun yang lebih baik kerana dalam latihan ketika ini pun, (proses) berjalan dengan baik. Pada ketika ini, saya cuba berusaha untuk memperkuatkan fizikal dan juga memperbaiki skil saya.

"Bagi saya, fizikal memainkan peranan cukup penting kerana ia akan membantu sekiranya perlu menyertai kejohanan secara berturut-turut dan sekiranya tak ada kekuatan fizikal, tentunya ia menyukarkan," kata Eogene yang pada ketika ini berada di ranking ke-319 dunia.

Pencapaian terbaik Eogene pada tahun ini adalah meraih gelaran di Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia di Perlis selain muncul naib juara Kejohanan Remaja Jerman.

Selasa lalu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengumumkan kem perseorangan lelaki akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A disertai Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene manakala Kumpulan B diwakili Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok.

Pemain dalam Kumpulan A dijadual menyertai 12 hingga 14 kejohanan antarabangsa dalam setahun manakala Kumpulan B pula dikurangkan penyertaan sekitar empat sehingga enam kejohanan.

Berita Harian X