Jumaat, 22 Disember 2023 | 8:45pm
Fareez masih berpeluang beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Fareez masih berpeluang beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.

MSN semak semula elaun jurulatih, atlet para badminton

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyemak semula pemberian elaun kepada jurulatih dan atlet para badminton yang berada dalam Program Podium atas pencapaian mereka pada beberapa temasya antarabangsa yang disertai tahun ini.

Ketua Jabatan Sumber Manusia & Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), R Ravendran berkata antara temasya yang diambil kira ialah Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Jun dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China Oktober lalu.

"… antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa (JKK) Sukan ialah semak semula elaun tiga jurulatih dan tujuh atlet di bawah Program Podium.

"Namun, perincian ada pada MSN yang akan membincangkan (bersama pihak terbabit) untuk selaraskan semua, sebab ada banyak kategori berkaitan dengan pencapaian dan pertandingan yang lepas diambil kira," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat JKK Sukan di MSN di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ravendran memaklumkan pemain perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) Muhammad Fareez Anuar masih berpeluang mewakili negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 sekiranya beliau menaiki podium pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand Februari depan.

Menurut Ravendran senarai akhir pemain yang layak mewakili negara pada temasya empat tahun sekali itu, bagaimanapun hanya akan diketahui pada April depan dengan mereka turut akan berpangkalan di luar negara sebagai rangka persiapan pasukan badminton para negara ke Paris.

"Buat masa ini jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou berada dalam landasan tepat ke Paris, namun Muhammad Fareez masih perlu menonjolkan aksi terbaik di Kejohanan Dunia nanti sebab mengikut peraturan hanya enam terbaik layak ke Paris.

"… tetapi andai kata Muhammad Fareez (ketujuh dunia dalam ranking ke Paris), kita perlu buat rayuan 'wild card' sebab setiap negara boleh hantar satu wakil sahaja," katanya.

Beliau turut memaklumkan BAM akan menambah dua jurulatih tempatan baharu dalam pasukan badminton para negara pada Februari depan. - BERNAMA

Berita Harian X