Sabtu, 16 Disember 2023 | 2:33pm
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. - BERNAMA
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. - BERNAMA

Norza kekal Presiden BAM hingga 2025

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sah akan mengekalkan jawatan nombor satu dalam badan induk berkenaan sehingga tamat penggal 2025.

Perkara itu dimaklumkan Norza selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM kali keempat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini sekali gus menyaksikan 'rayuan' Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini diterima.

"Selepas mengambilkira beberapa perkara secara berhati-hati selain galakan dari Hannah serta perbincangan bersama Ahli Majlis BAM, saya memutuskan untuk kekal sebagai presiden.

"Keputusan ini hadir selepas memikirkan banyak kali bersama Ahli Majlis, berkongsi komitmen dalam mengharungi fasa kritikal. Sasaran jelas, untuk memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024," kata Norza dalam sidang media selepas mesyuarat, hari ini.

Dalam mesyuarat berkenaan, Ahli Majlis turut memintanya untuk tidak menetapkan tempoh akhir memegang jawatan sebagai presiden bagi mengelak daripada menimbulkan sebarang spekulasi.

"Dalam mesyuarat fokus sehingga Olimpik tetapi pada masa ini, ahli majlis tidak mahu saya meletakkan bila masanya. Penggal pentadbiran saya sehingga 2025 kerana pemilihan seterusnya pada 2025, jadi kiranya sehingga ke tarikh berkenaan," katanya.

Pada Julai lalu, Norza mengumumkan akan meletak jawatan selepas berakhirnya Olimpik Paris 2024 namun sebulan selepas itu, memendekkan lagi tempoh peletakan jawatannya kepada hujung tahun ini.

BAM juga pada Oktober mengumumkan yang ahli majlis sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baru mereka.

Namun minggu ini, Hannah membuat satu hantaran di aplikasi X yang meminta Norza memikirkan semula keputusan daripada melepaskan jawatan di BAM hujung bulan ini selain memaklumkan yang program Road to Gold (RTG) direka bagi mengelakkan sekiranya berlaku perubahan kepimpinan dalam dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama.

"Pertamanya, tak betul dan ia tidak dirancang. Keduanya, ini adalah berkaitan kerja secara berpasukan. Kerja berpasukan adalah untuk memastikan kita mempunyai satu matlamat yang sama, pemikiran yang sama.

"Saya faham. Mungkin apabila beliau dapat tahu saya mahu melepaskan jawatan, mungkin bermacam-macam didengarnya dan mengganggu gugat persediaan. Saya mengambilnya yang beliau mahu memastikan BAM sentiasa berada dalam keadaan fokus," kata Norza.

Berita Harian X