Jumaat, 15 Disember 2023 | 4:55pm
Soh Wooi Yik (kanan) bersama Aaron Chia ketika menentang Ou Xuanyi dan Liu Yuchen di Hangzhou, China. - AFP
Soh Wooi Yik (kanan) bersama Aaron Chia ketika menentang Ou Xuanyi dan Liu Yuchen di Hangzhou, China. - AFP

Perjuangan Aaron-Wooi Yik berakhir

KUALA LUMPUR: Badi terkandas di peringkat kumpulan pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF terus menghantui beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Perjuangan pasangan nombor tiga dunia itu pada edisi kali ini di Hangzhou, China berakhir selepas merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam aksi Kumpulan A.

Turun dengan misi wajib menang menentang beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang bagi mengintai peluang ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan lawan itu.

Bekas juara dunia itu bermula baik apabila memenangi set pertama 21-18 sebelum Wei Keng-Wang Chang yang menerima sokongan padu penonton di Gimnasium Olimpik Hangzhou bangkit memenangi set kedua 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, penguasaan Wei Keng-Wang Chang sukar dibendung apabila mereka mendahului perlawanan dengan jarak mata cukup besar sebelum memastikan kemenangan 21-12 dalam tempoh 61 minit.

Ini adalah kali keempat Aaron-Wooi Yik gagal melepasi peringkat kumpulan pada kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.7 juta) itu selepas turut mengalami nasib sama dalam tiga penampilan sebelum ini 2019, 2020 dan 2022.

"Mereka (Wei Keng-Wang Chang) mempunyai permainan menyerang yang sangat baik. Di set pertama mereka banyak melakukan kesilapan dan membolehkan kami mencatat kemenangan.

"Namun, set kedua mereka sudah menemui rentak permainan dan memberi kesukaran kepada kami," kata Wooi Yik selepas tamat perlawanan.

Menurut Wooi Yik, mereka selepas ini akan mengalihkan fokus bagi menghadapi saingan Terbuka Malaysia.

"Kami akan berehat beberapa hari dan selepas itu akan kembali menjalani latihan bagi persiapan Terbuka Malaysia.

"Terima kasih di atas sokongan anda semua kepada kami pada tahun ini, diharapkan anda semua akan terus memberikan sokongan kepada kami dan jumpa pada tahun depan," kata Wooi Yik yang turut merumuskan pencapaian mereka pada saingan musim ini agak baik tetapi mengakui masih banyak perlu dilakukan bagi melonjakkan prestasi mereka menghadapi saingan musim depan terutamanya Sukan Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yik musim ini berjaya merekodkan gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia apabila menjuarai Terbuka Denmark selain muncul naib juara Terbuka India, Terbuka Indonesia dan Terbuka China.

Mereka juga muncul naib juara Kejohanan Asia serta memenangi gangsa di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Hangzhou.

Berita Harian X