Khamis, 14 Disember 2023 | 3:17pm
Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik membalas pukulan pasangan China, Yu Chen-Xuan Yi pada aksi Jelajah Dunia Akhir BWF hari ini. - AFP
Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik membalas pukulan pasangan China, Yu Chen-Xuan Yi pada aksi Jelajah Dunia Akhir BWF hari ini. - AFP

Aaron-Wooi Yik tumbang lagi tapi belum mahu kibar bendera putih

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memerlukan keajaiban dalam usaha mereka untuk melangkah ke separuh akhir saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China.

Pasangan nombor tiga dunia itu wajib menang aksi terakhir Kumpulan A menentang beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan straight set, esok.

Namun, pada masa yang sama Aaron-Wooi Yik juga mengharapkan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi tewas dalam aksi menentang satu lagi beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mencatat dua kemenangan.

Aaron-Wooi Yik berada dalam situasi sukar selepas merekodkan kekalahan kedua dalam peringkat kumpulan apabila tunduk di tangan Yu Chen-Xuan Yi, hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, kedua-dua pasangan menyajikan aksi 'kelas A' apabila saling mengejar terutamanya di set ketiga sebelum Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 18-21, 20-22.

Semalam, bekas juara dunia itu tewas aksi pertama kumpulan menentang Hoki-Kobayashi.

Meskipun peluang ke separuh akhir tampak sukar, namun Aaron enggan mengibar 'bendera putih terlalu awal sebaliknya akan terus berjuang untuk mencatat kemenangan dalam aksi terakhir kumpulan.

"Saya fikir prestasi kami hari ini baik cuma tuah tidak menyebelahi kami biarpun set kedua kami mendahului tetapi selepas itu banyak melakukan kesilapan mudah. Lawan kami lebih jelas dengan apa yang mereka mahu lakukan.

"Masih ada satu lagi perlawanan esok dan kami akan berikan yang terbaik untuk mencatat kemenangan," kata Aaron selepas tamat perlawanan, hari ini.

Sementara itu, Wooi Yik menyifatkan dua kekalahan dialami dalam saingan peringkat kumpulan pada kempen kali ini memberi pengajaran yang berguna kepada mereka.

"Sudah tentu kami belajar daripada setiap perlawanan apatah lagi mereka adalah pasangan utama dunia dan akan menjadi lawan kami pada masa depan. Ia adalah satu pengalaman berguna untuk kami," katanya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan mereka di kejohanan akhir musim itu sebelum ini.

Berita Harian X