Khamis, 14 Disember 2023 | 2:22pm
Aksi Addden (depan) ketika menentang Mohamed Elshorbagy. Foto Persekutuan Skuasy Dunia
Aksi Addden (depan) ketika menentang Mohamed Elshorbagy. Foto Persekutuan Skuasy Dunia

Misi skuad skuasy negara ke suku akhir lebur

KUALA LUMPUR: Hasrat Malaysia untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia tidak kesampaian selepas tewas 0-2 di tangan England pada aksi kalah mati di Tauranga, New Zealand, hari ini.

Skuad negara terlepas mata pertama selepas pemain muda, Ameesharaj Chandaran tewas di tangan Patrick Rooney 1-11, 3-11, 5-11 dalam perlawanan pertama.

Kehadiran semula pemain senior, Adden Idrakie Bakhtiar yang kembali diturunkan selepas direhatkan ketika Malaysia bertemu Mesir pada saingan kumpulan gagal mencetuskan impak apabila tewas kepada Mohamed Elshorbagy 6-11, 4-11 8-11 sekali gus menyaksikan England layak ke kelompok lapan terbaik.

"Perlawanan tadi menentang England bukan mudah untuk kami semua. Bagi saya, kami sudah melakukan yang terbaik di dalam gelanggang, cuma yang membezakan adalah mereka lebih berpengalaman daripada kami.

"Secara keseluruhan, saya sudah kembali yakin untuk beraksi berbanding perlawanan pertama saya tempohari, pukulan saya juga lebih bagus, tetapi saya agak gopoh ketika menuju ke beberapa mata akhir sehingga menyebabkan saya hilang mata.

"Mengenai pemain muda seperti Ameeshan, Sanjay (Jeeva) dan Hafiz (Muhd Hafiz Zhafri), mereka berhadapan dengan lawan yang berada dalam kelompok 10 hingga 20 terbaik dunia, tetapi mereka telah berjuang berhabis-habisan. Saya harap perlawanan hari ini memberikan pengajaran dan pengalaman kepada mereka untuk belajar.

"Pemain yang menjadi wakil pertama untuk turun ke gelanggang akan sentiasa berdebar dan berdepan tekanan tinggi. Saya dan semua pemain harus belajar untuk mengawal emosi kami sewaktu permainan," katanya.

Kekalahan dalam perlawanan itu menyaksikan Malaysia akan bermain dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-16.

Addeen bagaimanapun optimis Malaysia mampu menamatkan kejohanan kali ini dalam kelompok 12 terbaik sekali gus mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

"Bagi saya peluang kami untuk menghabiskan kejohanan ini di kedudukan ke-12 terbaik masih cerah cuma kami harus belajar daripada kesilapan perlawanan pada hari ini untuk menghadapi perlawanan esok," kata Addeen.

Berita Harian X