Selasa, 12 Disember 2023 | 4:35pm
Presiden Persatuan Badminton Negara, Tan Sri Norza Zakaria. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Presiden Persatuan Badminton Negara, Tan Sri Norza Zakaria. - NSTP/OWEE AH CHUN.

Norza sedia pertimbang semula keputusan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersedia untuk mempertimbangkan semula keputusan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hujung tahun ini selepas 'dirayu' Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Norza ketika dihubungi berkata, beliau akan mempertimbangkan permintaan berkenaan sebagai menghormati Hannah selain mengakui antara mereka mempunyai kerjasama yang baik termasuk sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ataupun dalam program Road to Gold (RTG).

Justeru itu, Norza berkata, dia akan memikirkan sama ada untuk kekal dengan pendirian awalnya sebelum ini iaitu mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 dan keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat Majlis BAM pada Sabtu ini.

"Pertama sekali, tentu saya akan mempertimbangkan permintaan menteri kerana saya menghormatinya dan kedua, saya pun bekerjasama dengan menteri amat baik dalam RTG dan semuanya.

"Kita akan mengadakan mesyuarat Majlis BAM pada Sabtu ini dan selepas itu saya akan memberikan keputusan dan kenyataan lanjut. Kemungkinan beliau (Hannah) meminta saya (kekal di BAM) sehingga Olimpik Paris.

"Malah tempoh saya pun sehingga 2025. Pada mulanya saya nak berhenti seperti sebelum ini (selepas Olimpik Paris) dan saya mungkin akan mempertimbangkan sehingga Olimpik Paris semula. Apapun, pada Sabtu ini saya akan buat keputusan," kata Norza ketika dihubungi.

Hannah pada pagi tadi memuatnaik hantaran di aplikasi X yang mahu Norza memikirkan semula keputusan daripada melepaskan jawatan dalam BAM pada hujung bulan ini.

Hannah turut memaklumkan yang program RTG direka bagi mengelakkan sekiranya berlaku perubahan kepimpinan dalam Kementerian KBS ataupun MOM apabila mempunyai dua pengerusi bersama.

"Sukan Olimpik Paris hanya beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini," kata Hannah dalam hantarannya.

Ogos lalu, Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk badminton itu pada hujung tahun ini selepas sebelum itu memutuskan untuk mengundur diri selepas Olimpik Paris.

Berita Harian X