Isnin, 11 Disember 2023 | 6:51pm
Addeen tewas dalam perlawanan pertama menentang pemain Ireland, Sam Buckley.
Addeen tewas dalam perlawanan pertama menentang pemain Ireland, Sam Buckley.

Malaysia cemas sebelum atasi Ireland

KUALA LUMPUR: Malaysia cemas sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Ireland pada aksi pertama Kumpulan A Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia di Tauranga, New Zealand, hari ini.

Pada aksi itu, Ireland terlebih dahulu di depan selepas Sam Buckley berjaya menundukkan pemain senior negara, Addeen Idrakie Bakhtiar 11-9, 11-4, 11-6.

Bagaimanapun, Malaysia kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan dilakar pemain muda, Sanjay Jeeva yang menewaskan Sean Conroy 11-9, 11-7, 11-3.

Seorang lagi pemain muda negara, Ameesharaj Chandaran muncul wira pasukan apabila menghadiahkan mata kemenangan selepas mengatasi cabaran Oisin Logan 11-9, 11-4, 11-4.

"Addeen tidak beraksi pada tahap terbaiknya hari ini, dia cuba buat yang terbaik tetapi tidak cukup sekali gus menyaksikan dia kalah.

"Sanjay bermain menentang lawan yang bagus, tetapi dia menggunakan segala kelebihan yang ada untuk memenangi perlawanan dan menyamakan kedudukan buat Malaysia.

"Ameesharaj bermain dengan sangat baik, kalau kita lihat set pertama berlangsung selama 22 minit. Selepas itu, dia mengawal permainan dengan baik dan memenangi perlawanan," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam.

Skuad negara seterusnya dijadual bertemu juara lima kali yang juga pilihan pertama kejohanan, Mesir pada aksi terakhir kumpulan, esok.

"Kami merehatkan Addeen bagi perlawanan dengan Mesir untuk membolehkan dia berlatih dan mendapatkan semula keyakinannya. Kami akan menyenaraikan Muhd Hafiz Zhafri sebagai pemain ketiga.

"Matlamat utama perlawanan esok adalah untuk melihat sejauh mana jurang antara pemain kita dengan pemain terbaik dunia dari Mesir dan berharap mereka dapat belajar sesuatu," kata Maniam.

Berita Harian X