Ahad, 10 Disember 2023 | 5:58pm
Adden Idrakie Bakhtiar optimis dia dan rakan atasi Ireland pada aksi pertama Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia.
Adden Idrakie Bakhtiar optimis dia dan rakan atasi Ireland pada aksi pertama Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia.

Skuad skuasy sasar Ireland 'mangsa' sulung

KUALA LUMPUR: Malaysia optimis mampu melakar kemenangan pada aksi pertama Kumpulan A di Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia yang berlangsung di Tauranga, New Zealand, esok.

Pemain negara, Adden Idrakie Bakhtiar, berkata berdasarkan kedudukan ranking, Malaysia diletakkan sebagai pilihan bagi memenangi perlawanan itu.

"Saya bersyukur kerana dipilih bagi membarisi pasukan untuk kejohanan kali ini. Sebagai pemain paling senior, saya akan buat yang terbaik untuk memberi motivasi dan berkongsi pengalaman dengan pemain muda dalam pasukan.

"Berdasarkan kedudukan ranking, kami adalah pilihan untuk memenangi perlawanan menentang Ireland.

"Saya yakin kami boleh beraksi dengan baik dan mengatasi tekanan. Paling penting, kami perlu bermain sebagai satu pasukan," katanya.

Kemenangan ke atas Ireland cukup penting bagi menyuntik semangat pemain sebelum berdepan ujian getir menentang juara lima kali yang juga pilihan pertama kejohanan, Mesir pada aksi terakhir kumpulan Selasa ini.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati.

Pada edisi kali ini, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengambil langkah berani dengan menyenaraikan barisan pemain muda untuk menghadapi kejohanan berprestij itu.

Cabaran negara diketuai Adden Idrakie sebagai pemain senior manakala baki tiga pemain lagi iaitu Ameesharaj Chandaran, Sanjay Jeeva, Muhd Hafiz Zhafri akan tampil buat kali pertama.

SRAM menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya skuad negara menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik daripada 24 buah negara yang bertanding.

Edisi sebelum ini pada 2019 di Washington, Amerika Syarikat menyaksikan skuad negara menamatkan saingan keseluruhan di tempat kesembilan.

Berita Harian X