Isnin, 4 Disember 2023 | 7:02pm
Choong Hon Jian-Haikal Nazri ketika muncul juara kejohanan Antarabangsa Syed Modi. - Foto ihsan BAM
Choong Hon Jian-Haikal Nazri ketika muncul juara kejohanan Antarabangsa Syed Modi. - Foto ihsan BAM

Hon Jian-Haikal raih gelaran sulung di kejohanan Antarabangsa Syed Modi

KUALA LUMPUR: Meskipun baru digandingkan empat bulan lalu namun gandingan muda lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri sudah menunjukkan sesuatu yang boleh dibanggakan apabila meraih gelaran sulung mereka di kejohanan Antarabangsa Syed Modi, semalam.

Hon Jian-Haikal yang berada di ranking ke-93 dunia mencipta kejutan apabila menewaskan beregu ke-16 dunia dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-18, 21-16 di pentas final.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, Haikal berharap dirinya dan Hon Jian dapat mengekalkan momentum prestasi kemenangan pada kejohanan seterusnya dengan yang terdekat di Masters Guwahati di Assam, India bermula esok.

"Saya dan Hon Jian baharu sahaja digandingkan dan ini emas pertama kami. Ini (gelaran) akan membuatkan kami lebih yakin dan bersemangat untuk kejohanan seterusnya dan terus maju ke depan.

"Ini permulaan untuk kami. Harap pada masa akan datang, kami akan lebih dapat menunjukkan prestasi dan meraih lebih banyak gelaran," kata Haikal.

"Saya harap kami dapat konsisten dan mengekalkan gelaran.

"Biasanya, apabila yang pertama tinggi tetapi di kejohanan seterusnya akan menjadi berbeza. Jadi harap boleh konsisten daripada segi pencapaian itu."

Untuk rekod, Hon Jian-Haikal yang digandingkan pada Ogos lalu mula menunjukkan keserasian apabila mempamerkan aksi memberangsangakan termasuk muncul naib juara di Masters Indonesia II di Surabaya, Oktober lalu.

Berita Harian X