Jumaat, 1 Disember 2023 | 10:38pm
Aksi Sivasangari (kanan) ketika bertemu Nele Gilis di suku akhir Terbuka Hong Kong. Foto Skuasy Hong Kong
Aksi Sivasangari (kanan) ketika bertemu Nele Gilis di suku akhir Terbuka Hong Kong. Foto Skuasy Hong Kong

Perjuangan Sivasangari tersekat di suku akhir

KUALA LUMPUR: Hasrat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk memburu gelaran kedua berturut-turut tidak kesampaian selepas terkandas di suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu terpaksa akur apabila tunduk di tangan pilihan keempat dari Belgium, Nele Gilis 3-1 dalam tempoh 56 minit.

Selepas tewas set pertama dan kedua 8-11, 6-11, Sivasangari mencetuskan kebangkitan dengan memenangi set ketiga 12-10.

Bagaimanapun, hasratnya untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tidak kesampaian apabila tunduk 9-11 di set keempat sekali gus mengakhiri perjuangannya di Hong Kong kali ini.

Sabtu lalu, pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu cemerlang apabila merangkul gelaran Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong dengan menewaskan pemain Mesir, Amina Orfi di pentas final.

Susulan kejayaan itu, ranking Sivasangari melonjak ke kedudukan ke-17 dunia berbanding 22 sebelum ini.

Sivasangari sebelum ini turut muncul juara turut menjuarai Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos lalu.

Berita Harian X