Khamis, 30 November 2023 | 9:47pm
Pemain perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh.
Pemain perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh.

Justin kandas di pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh mendapat pengajaran berguna selepas tersingkir di pusingan kedua Kejohanan Badminton Antarabangsa India Syed Modi di Lucknow, hari ini.

Justin yang kembali beraksi kali pertama dalam kejohanan selepas tujuh bulan berehat akibat kecederaan mengalami 'mimpi buruk' ketika tewas di tangan juara remaja dunia dari Indonesia, Alwi Farhan.

Selepas tewas 11-21 di set pertama, Justin bangkit mempamerkan penguasaan di set kedua apabila hanya dipisahkan satu mata bagi mencatatkan kemenangan sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Bagaimanapun, kemenangan yang diharapkan tidak menjelma apabila dia yang mendahului 20-12 seolah 'dipukau' dengan kebangkitan lawannya yang akhirnya berjaya menamatkan perlawanan set kedua dengan keputusan 23-21 sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir.

Nasib sama turut menimpa pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei yang gagal meneruskan kemaraan ke kelompok lapan terbaik selepas tewas di tangan Chi Yu Jen dari Taiwan 21-17, 11-21, 17-21.

Bagaimanapun, Malaysia masih mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki di pentas suku akhir, esok menerusi seorang lagi pemain profesional, Soong Joo Ven yang mara selepas menundukkan Wang Tzu Wei dari Taiwan 21-19, 21-13.

Joo Ven akan membuat perhitungan dengan wakil Perancis, Alex Lanier bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching turut melangkah ke suku akhir selepas mengatasi wakil tuan rumah, A. Janani 21-15, 21-12 sekali gus menempah pertemuan menentang pilihan keenam dari Taiwan, Wen Chi Hsu.

Dalam pada itu, Malaysia menjamin satu tiket di separuh akhir dalam acara beregu lelaki selepas dua pasangan negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi akan berentap antara satu sama lain di suku akhir, esok.

Terdahulu, Hon Jian-Haikal mencipta kejutan apabila menumbangkan pilihan keempat dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 11-21, 25-23, 21-10 manakakala Roy King-Wan Arif mengatasi lawan dari India, Hariharan Amsakarunan-Ruban Rethinasabaphati 21-6, 21-17.

Beregu campuran negara yang baharu dibentuk, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin juga mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan pasangan India, Nitri Kumar-Navdha Manglam 21-13, 21-13 dan akan bertemu Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dari Taiwan.

Berita Harian X