Khamis, 30 November 2023 | 8:01pm
Aaron-Wooi Yik gagal lepasi peringkat kumpulan dalam tiga penampilan di Jelajah Dunia Akhir BWF.
Aaron-Wooi Yik gagal lepasi peringkat kumpulan dalam tiga penampilan di Jelajah Dunia Akhir BWF.

Aaron-Wooi Yik tekad akhiri badi Jelajah Dunia Akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan 'mimpi ngeri' dalam tiga penampilan sebelum ini berulang apabila mereka beraksi buat kali keempat di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Disember ini.

Pasangan nombor dua dunia berkenaan mempunyai pengalaman buruk di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM9.31 juta) itu sebelum ini apabila gagal melepasi peringkat kumpulan dalam ketiga-tiga penampilan mereka pada edisi 2019, 2020 dan 2022.

Justeru, Aaron-Wooi Yik tekad untuk mengakhiri badi berkenaan apabila mereka beraksi Hangzhou dengan sasaran awal adalah mara ke separuh akhir.

"Kami sudah tiga kali layak ke Jelajah Dunia Akhir sebelum ini, tahun ini akan menjadi yang keempat. Jadi, kami harap boleh melepasi peringkat kumpulan.

"Walaupun tidak mudah kerana perlu bersaing dengan tujuh lagi beregu terbaik, namun kami harap boleh menampilkan persembahan terbaik apatah lagi ini adalah kejohanan terakhir tahun ini. Kami mahu menikmatinya," kata Wooi Yik.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu dengan Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan keempat.

Aaron-Wooi Yik layak buat kali keempat selepas edisi 2019, 2020 dan 2022 apabila berada di kedudukan ranking keempat kejohanan Jelajah Dunia.

Tujuh lagi pasangan yang layak adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dan Muhammad Shohibul Fikri-Baga Maulana (Indonesia).

Menurut Wooi Yik, berbaki dua minggu sebelum kejohanan di Hangzhou bermula, dia dan Aaron akan memperkemaskan strategi permainan mereka.

"Kekuatan dan kepantasan, memang kami sudah ada. Cuma sekarang kami perlu mempelbagaikan lagi strategi permainan kami.

"Saya percaya peluang adalah terbuka untuk semua beregu tetapi semuanya bergantung kepada strategi dan prestasi pada hari perlawanan," katanya.

Berita Harian X