Khamis, 30 November 2023 | 5:05pm
Sivasangari membalas pukulan Naughton pada aksi pusingan ketiga Terbuka Hong Kong hari ini. - Foto Skuasy Hong Kong
Sivasangari membalas pukulan Naughton pada aksi pusingan ketiga Terbuka Hong Kong hari ini. - Foto Skuasy Hong Kong

Sivasangari di landasan tepat buru kejuaraan kedua di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, S Sivasangari mengekalkan rentak kecemerlangannya apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong, Sabtu lalu, Sivasangari terus memperagakan aksi 'memukau' apabila menyingkirkan pemain Kanada, Hollie Naughton 3-0 pada aksi pusingan ketiga.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu hanya memerlukan 23 minit bagi mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik menerusi kemenangan 11-5, 11-5, 11-7.

Menurut Sivasangari, kejayaan muncul juara Sabtu lalu meningkatkan lagi tahap keyakinannya bagi menghadapi kejohanan minggu ini.

"Saya sangat gembira dengan permainan saya hari ini menentang Hollie yang melakar kemenangan besar sebelum ini (menewaskan pilihan kedua dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver di pusingan kedua).

"Sebelum ini bermain di gelanggang biasa, tetapi hari ini bertukar di gelanggang kaca dan ia akan agak mencabar.

"Namun, saya berjaya mendapat rentak permainan dan apabila ada peluang saya hanya yakin dengan pukulan-pukulan saya," katanya kepada Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas tamat perlawanan.

Sivasangari yang menghuni ranking ke-22 dunia akan membuat perhitungan dengan Nele Gilis dari Belgium bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Berita Harian X