Isnin, 27 November 2023 | 10:59am
Pemain badminton negara Ng Tze Yong kini menghuni ranking ke-14 Persekutuan Badminton Dunia. – Foto bwfbadminton.com
Pemain badminton negara Ng Tze Yong kini menghuni ranking ke-14 Persekutuan Badminton Dunia. – Foto bwfbadminton.com

Hendrawan sedia siapkan Tze Yong ke Paris

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan menegaskan beliau tetap komited membantu mempersiapkan Ng Tze Yong bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkembangan itu sekali gus menepis spekulasi yang mengatakan jurulatih dari Indonesia itu akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam masa terdekat.

Hendrawan yang sudah membimbing Tze Yong selama dua tahun, berkata beliau akan terus melaksanakan tugasnya mempersiapkan pemain itu menuju ke temasya di Paris.

"Saya mempunyai misi jelas bersama Tze Yong. Saya kekal komited dengan tanggungjawab saya bagi membimbing Tze Yong menghadapi Olimpik Paris," kata Hendrawan.

Sentuhan Hendrawan sepanjang membimbing Tze Yong menyaksikan pemain itu mempamerkan peningkatan prestasi yang positif selain berjaya melonjakkan kedudukan rankingnya ke tangga ke-14 dunia dan di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Tze Yong turut berjaya memenangi pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan muncul naib juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, bulan lalu.

Hendrawan yang memainkan peranan penting ketika membantu Datuk Lee Chong Wei memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bertekad untuk membantu Tze Yong pula.

"Proses kelayakan (Olimpik Paris) amat kompetitif dan Tze Yong tidak memerlukan sebarang gangguan pada peringkat ini. Kami akan bersama bagi mencapai matlamat kami," kata Hendrawan.

Berita Harian X