Ahad, 26 November 2023 | 4:32pm
Aaron-Wooi Yik akan beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan.
Aaron-Wooi Yik akan beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan.

Dua beregu buat Aaron-Wooi Yik pening

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia melabel pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Chirag Shetty-Satwisairaj Rankireddy dari India sebagai gandingan yang sukar untuk ditewaskan.

Tanpa menidakkan kekuatan dan kelebihan dimiliki pasangan lain, namun Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik menyifatkan dua gandingan itu sebagai ancaman utama berdasarkan prestasi konsisten mereka.

"Nak cakap susah untuk kami menang itu, mungkin pasangan China, Wei Keng-Wang Chang dan beregu India, Chirag Shetty-Satwisairaj Rankireddy.

"Pasangan India itu, kalau ikutkan rekod pertemuan kami masih jauh mendahului tapi dua pertemuan terakhir, mereka menang.

"Saya rasa dua pasangan ini memang agak susah sekarang, mungkin mereka sudah menemui corak permainan yang sesuai untuk mereka," kata Aaron.

Berdasarkan rekod pertemuan, Wei Keng-Wang Chang yang menghuni ranking nombor satu dunia menang lima daripada enam perlawanan ke atas Aaron-Wooi Yik.

Berdepan Shetty-Rankireddy, Aaron-Wooi Yik yang berada di kedudukan ranking nombor dua dunia menang lapan daripada 10 perlawanan namun tewas dalam dua pertemuan terakhir.

"Kalau kita tengok pasangan India sejak tahun lalu, mereka sudah menemui corak permainan mereka jadi kami kena tahu permainan bagaimana untuk mengatasi kekuatan mereka.

"Kalau kita lihat, jika mereka boleh sampai ke final, pasti mereka akan juara, jadi saya boleh katakan pemain China dan India itu, agak sempurna ketika ini," kata Aaron.

Aaron-Woo Yik kini dalam persiapan bagi menghadapi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Disember ini.

Mereka sebelum ini berjaya mengakhiri penantian bagi merangkul gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia apabila menjuarai Terbuka Denmark, bulan lalu.

Berita Harian X