Jumaat, 24 November 2023 | 9:28pm
Aksi Sivasangari ketika menentang Sarah Jane pada separuh akhir Terbuka Hong Kong. - Foto Skuasy Hong Kong
Aksi Sivasangari ketika menentang Sarah Jane pada separuh akhir Terbuka Hong Kong. - Foto Skuasy Hong Kong

Eain Yow, Sivasangari mara ke final Terbuka Hong Kong

KUALA LUMPUR: Dua wakil negara, Ng Eain Yow dan S Sivasangari masing-masing cemerlang apabila berjaya melangkah ke final Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong, hari ini.

Pilihan ketiga, Eain Yow mencipta kejutan apabila menumbangkan pilihan pertama dari Mesir, Mohamed Elsherbini 11-9, 11-5, 11-4 pada aksi separuh akhir.

"Saya sangat gembira, ia perlawanan yang sukar biarpun keputusan di set kedua dan ketiga tidak menggambarkan seperti itu.

"Selepas set pertama, saya perlu lebih berdisiplin untuk kekalkan strategi permainan yang sama dan tidak terlalu teruja. Saya berjaya mengekalkan momentum dan akhirnya berjaya memenangi perlawanan," kata Eain Yow kepada Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara pemain Mesir, Aly Abou Eleinen menentang Iker Pajares dalam satu lagi aksi separuh akhir.

"Saya tahu saya mampu untuk mara ke final dengan kualiti perlawanan yang saya bermain. Jadi, saya hanya perlu percaya kepada diri sendiri menjelang aksi final," kata Eain Yow.

Sementara itu, Sivasangari mengesahkan tiket ke final saingan wanita selepas menewaskan wakil England, Sarah Jane Perry 11-8, 11-9, 11-6.

Dia akan bertemu wakil Mesir, Amina Orfi bagi perebutan gelaran juara, esok.

Berita Harian X