KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap kehadirannya sekali lagi akan membawa tuah buat skuad badminton negara untuk menamatkan kemarau selama 17 tahun memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou.
Rexy pernah mencetuskan sensasi apabila dia berjaya membimbing pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memenangi emas di Sukan Asia Doha 2006 yang menjadi kejuaraan terakhir buat kem badminton negara di pentas Sukan Asia.
Kien-Boon Heong ketika itu menamatkan penantian selama 36 tahun Malaysia bagi memenangi emas dalam sukan badminton selepas kali terakhir dimenangi Datuk Punch Gunalan dalam acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki bersama Datuk Ng Boon Bee pada edisi 1970 di Bangkok, Thailand.
Kali ini, Rexy yang kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2021 selepas meletak jawatan pada 2012 akan mengetuai barisan kejurulatihan bagi membawa pemain negara beraksi di Sukan Asia.
Taruhan terbaik Malaysia bagi mengakhiri kemarau panjang memenangi emas di Hangzhou adalah menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdasarkan prestasi semasa mereka yang muncul naib juara Terbuka China, awal bulan ini.
Magis Rexy yang juga legenda badminton Indonesia sudah terbukti sebelum ini apabila dia menjadi antara watak penting terhadap kejayaan Aaron-Wooi Yik menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara dunia di Tokyo, Jepun, tahun lalu.
"Sudah tentu saya juga harap dapat membawa tuah kepada pasukan untuk kali ini. Saya tidak mahu beri tekanan kepada pemain tetapi saya harap ini (kemarau emas) akan menjadi motivasi kepada mereka selepas kali terakhir kita menang menerusi Kien Keat-Boon Heong.
"Perkara seperti ini adalah motivasi yang harus ada dalam diri Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan sesiapa pun termasuklah Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki), Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong (perseorangan lelaki)... begitu juga untuk pemain beregu campuran," kata Rexy.
Rexy sendiri ketika bergelar pemain mempunyai rekod cemerlang di Sukan Asia apabila berjaya memenangi emas pada 1994 dan 1998 dalam acara beregu lelaki bersama pasangannya Ricky Subagja selain acara berpasukan.
Rexy menyifatkan saingan di Sukan Asia memiliki prestij yang tinggi dan sebenarnya adalah lebih sukar berbanding Sukan Olimpik.
"Sukan Olimpik setiap negara ada satu wakil saja, kalau ada ranking yang layak untuk ada dua wakil, barulah ada dua.
"Kalau tidak semua satu wakil. Pusingan pertama atau kedua Olimpik pun kita boleh jumpa lagi pemain yang bukan pilihan tetapi di Sukan Asia pusingan pertama atau kedua sudah jumpa lawan yang kuat. Cuma Denmark saja tidak ada di Sukan Asia, selebihnya semua pemain kelompok dunia ada di sana," katanya.