Ahad, 10 September 2023 | 6:04pm
Aaron-Wooi Yik gagal memberi tentangan pada final Terbuka China hari ini.
Aaron-Wooi Yik gagal memberi tentangan pada final Terbuka China hari ini.

Aaron-Wooi Yik 'lembik', tumbang dalam 26 minit

KUALA LUMPUR: Adakah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak beraksi di final badminton Terbuka China hari ini?

Persoalan itu timbul selepas mereka tampil dengan aksi buruk apabila tumpas mudah di tangan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 dalam aksi 26 minit yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Mereka bagai dipukau apabila gagal memberi tentangan selain sering melakukan kesilapan yang memberi mata mudah kepada pasangan tuan rumah yang menduduki ranking ketiga dunia itu.

Selepas tewas 12-21 pada set pertama, beregu negara yang menduduki ranking keempat dunia gagal bangkit pada set kedua apabila ketinggalan 0-7 sebelum memperbaiki permainan tetapi sudah terlewat.

Kekalahan kali kelima daripada enam pertemuan kepada pasangan China itu menyaksikan mereka gagal dalam usaha menamatkan penantian merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF.

Malah, ini adalah kali kedua pasangan China itu menafikan Aaron-Wooi Yik untuk meraih gelaran sulung mereka selepas turut melakukannya pada final Terbuka India, Januari lalu.

Selepas gagal di Terbuka India, Aaron-Wooi Yik turut gagal merekodkan gelaran juara selepas tewas di tangan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shett ketika final Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM692,122) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$70,000 (RM327,355).

Berita Harian X