Jumaat, 8 September 2023 | 8:11pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka China. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka China. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Aaron-Wooi Yik teruskan kemaraan ke separuh akhir Terbuka China

KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan status mereka sebagai beregu lelaki nombor satu Malaysia selepas menundukkan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Terbuka China, sebentar tadi.

Pasangan ranking nombor enam dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Ee Yi-Yew Sin 19-21, 21-19, 21-11 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Olimpik di Changzhou.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik dijangka berdepan ujian getir dalam misi mereka merangkul gelaran sulung saingan Jelajah Dunia BWF apabila akan menentang pemenang perlawanan antara juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dengan juara Seluruh England 2022, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Malauna bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik musim ini dua kali berjaya melangkah ke final ketika saingan Terbuka India dan Terbuka Indonesia namun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Berita Harian X