Rabu, 6 September 2023 | 3:37pm
Zii Jia ketika menentang Kodai Naraoka di Terbuka China.
Zii Jia ketika menentang Kodai Naraoka di Terbuka China.

Zii Jia tersingkir pusingan pertama Terbuka China

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui prestasinya masih ketinggalan berbanding naib juara dunia dari Jepun, Kodai Naraoka selepas tewas di tangan lawan itu di pusingan pertama Terbuka China, hari ini.

Zii Jia terpaksa akur apabila tewas 24-26, 21-12, 11-21 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Zii Jia berkata Naraoka sudah menjadi pemain yang lebih stabil sekarang dan itu memberikan kelebihan buat bintang Jepun itu.

"Prestasinya (Naraoka) konsisten dan seperti yang kita tahu dia sangat bagus dalam rali dan bertahan. Dia kurang melakukan kesilapan mudah dalam gelanggang dan membuatkan dia sebagai pemain yang lebih baik dan lebih stabil.

"Jika tengok pemain Jepun yang lain, corak permainan mereka hampir sama tetapi apa yang membezakan mereka dengan Kodai adalah dia lebih stabil dan mengawal gelanggang dengan baik. Dia lebih yakin dengan apa yang dilakukannya sekarang.

"Saya pula, tiada apa yang positif untuk saya. Apa yang saya boleh lakukan adalah terus berusaha lagi," kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Kemenangan menyaksikan Naraoka akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara pemain Perancis, Toma Junior Popov menentang Lin Chun Yi dari Taiwan bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Naraoka hampir merangkul gelaran dunia pertama sebelum tewas dalam pertarungan tiga set di tangan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada aksi final kejohanan yang berlangsung di Copengahen, Denmark, bulan lalu.

Zii Jia pula akan meneruskan misi untuk melonjakkan semula prestasinya dengan menyertai Terbuka Hong Kong yang bermula dari 12 hingga 17 September ini.

Dia akan membuka tirai kempen di Hong Kong menentang pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan pertama.

Berita Harian X