KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan senarai nama pemain yang akan menggalas cabaran negara di Sukan Asia Hangzhou 2023 dengan skuad negara tidak akan menyertai acara berpasukan wanita.
Senarai nama berkenaan diumumkan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM, hari ini manakala Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menyatakan, acara berpasukan lelaki mempunyai peluang meraih pingat emas.
"Kalau dilihat, memang untuk setakat ini... semua pasukan mempunyai peluang sama rata termasuklah kita. Kalau semuanya berjalan baik, pasukan kita mempunyai peluang untuk raih emas," kata Rexy ketika ditemui media selepas Mesyuarat Majlis BAM, hari ini.
Acara berpasukan lelaki akan disertai Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei (perseorangan), Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi, Goh Soon Huat dan Chen Tang Jie (beregu).
Cabaran bagi perseorangan lelaki individu akan digalas Zii Jia dan Tze Yong manakala perseorangan wanita diwakili Goh Jin Wei dan K Letshanaa.
Untuk beregu lelaki, dua gandingan dipilih iaitu Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi manakala beregu wanita disertai Pearly Tan-M Thinaah dan Go Pei Kee-Valeree Siow.
Bagi cabaran beregu campuran, Malaysia diwakili Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
"Sekarang mereka stabil... Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi. Lee Zii Jia pula sekarang ini akan dibimbing oleh Wong Tat Meng. Harap prestasi lebih baik untuk kita lebih kuat di Sukan Asia nanti.
"Tze Yong pula, bukan masalah teknik atau skil tetapi lebih kepada kekuatan. Kalau dilihat pemain ternama, mereka mempunyai badan yang kuat, dia kurang dari sudut itu saja.
"Dia boleh dipertingkatkan dari sudut ini. Pasukan kita ada prospek. Paling tidak di sana nanti, boleh harapkan empat mata dari dua beregu dan dua perseorangan. Kalau ada hanya tiga (harapan untuk dapat mata), susah," katanya.
Senarai nama ke Sukan Asia Hangzhou 2023
Perseorangan lelaki
Lee Zii Jia
Ng Tze Yong
Perseorangan wanita
Goh Jin Wei
K Letshanaa
Beregu lelaki
Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi
Beregu wanita
Pearly Tan-M Thinaah
Go Pei Kee-Valeree Siow
Beregu campuran
Goh Soon Huat-Shevon Lai
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei
Berpasukan lelaki
Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi, Goh Soon Huat, Chen Tang Jie