Sabtu, 10 Jun 2023 | 9:23pm
Aaron-Wooi Yik tewas di separuh akhir Terbuka Singapura 2023 di tangan gandingan China, g-Wang Chang 21-16, 15-21, 17-21. Foto: Badminton Photo
Aaron-Wooi Yik tewas di separuh akhir Terbuka Singapura 2023 di tangan gandingan China, g-Wang Chang 21-16, 15-21, 17-21. Foto: Badminton Photo

Aaron-Wooi Yik 'sangkut' di separuh akhir Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Misi 'beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus 'menjinakkan' gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang tidak kesampaian apabila tewas 21-16, 15-21, 17-21 di separuh akhir Terbuka Singapura 2023, sebentar tadi.

Meskipun pernah meraih kemenangan ke atas Wei Keng-Chang pada pusingan kedua Masters Indonesia, namun 'luka' ketika ditewaskan gandingan di ranking ketiga dunia itu di final Terbuka India pada Januari lalu masih berbekas.

Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia memulakan perlawanan separuh akhir di Stadium Tertutup Singapura dengan positif apabila melakar kemenangan 21-16 namun lawan bangkit di set kedua, menumpaskan mereka 15-21 sekali gus mengheret saingan ke set penentuan.

Kedua-dua beregu saling bertukar mata sehingga keputusan terikat 15-15 di set penentuan sebelum Wei Keng-Chang mula mengasak untuk melakar kemenangan 21-17 sekali gus menempah slot ke pentas final buat kali keempat mereka musim ini.

Kekalahan di tangan Wei Keng-Chang itu secara tidak langsung 'memusnahkan' impian Aaron-Wooi Yik untuk mara ke final kedua mereka musim ini namun keputusan itu memperlihatkan peningkatan berbanding pencapaian berada di suku akhir Masters Malaysia, Mei lalu.

Minggu depan, Aaron-Wooi Yik dijadual menyertai Terbuka Indonesia di Jakarta dengan lawan di pusingan pertama bertemu wakil tuan rumah, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana - gandingan yang pernah ditewaskan mereka di pusingan kedua Terbuka Singapura, Khamis lalu.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas di separuh akhir apabila tewas di tangan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 17-21, 22-24.

Berita Harian X