KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pentas suku akhir Terbuka Singapura 2023 sekali gus bakal membuat perhitungan kelapan bersama gandingan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, esok.
Di pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura hari ini, Aaron-Wooi Yik menumpaskan satu lagi gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan straight set 21-18-21-17.
Pertemuan itu adalah yang pertama antara Aaron-Wooi Yik dengan gandingan ke-13 dunia sedang meningkat naik itu.
Dalam pada itu, pertembungan Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia dengan Carnando-Marthin esok dijangka sengit, menyaksikan gandingan dari Indonesia itu sudah melakar dua kemenangan ke atas juara dunia 2022 pada tahun ini.
Carnando-Marthin meraih dua kemenangan dalam tiga pertemuan tahun ini iaitu di Masters Malaysia dan Seluruh England manakala Aaron-Wooi Yik menewaskan lawannya itu di Kejohanan Badminton Asia, April lalu.
Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik merekodkan empat kemenangan ke atas Carnando-Marthin sejak mereka mula bertemu di Terbuka Thailand 2021.
Dalam perkembangan samau, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terkandas di pusingan kedua di tangan pilihan ketujuh dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 18-21, 24-22, 13-21 dalam tempoh satu jam 6 minit.
Turut tersingkir adalah beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila kecundang di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 18-21, 21-18, 13-21.