KUALA LUMPUR: Beregu pilihan keenam Masters Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menempah tempat ke suku akhir esok selepas menewaskan lawan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di Axiata Arena, sebentar tadi.
Yew Sin-Ee Yi mara apabila bangkit selepas tewas di set pertama sebelum meraih kemenangan 15-21, 21-12,-21-19 dalam tempoh satu jam 18 minit untuk bertemu beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di suku akhir nanti.
Min Hyuk-Seung Jae mara selepas menewaskan gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito straight set 21-15, 21-17.
"Mereka cuba mengkaji permainan kami dan melakukannya dengan baik pada set pertama. Bagaimanapun, kami cuba untuk tidak menyerah kalah dan bermain habis-habisan.
"Kunci kebangkitan pada set ketiga, kami tidak mudah untuk memberi peluang kepada mereka... jika tidak, kami akan melakukan kesilapan," kata Yew Sin selepas mereka mencatat kemenangan keempat dalam tujuh pertemuan dengan Ching Yao-Po Han.
Kali terakhir mereka bertemu adalah di saingan peringkat kumpulan Piala Sudirman dan pada ketika itu Yew Sin-Ee Yi mencatat kemenangan 21-8, 23-21 dalam tempoh 44 minit.
Sebelum itu, kemenangan turut memihak kepada Yew Sin-Ee Yi yang menewaskan lawan berkenaan di pusingan kedua Terbuka Malaysia pertengahan Januari lalu.
Pertembungan dengan Min Hyuk-Seung Jae esok adalah yang kedua buat Yew Sin-Ee Yi selepas rekod sebelum ini menyaksikan mereka meraih kemenangan 23-21, 21-12 di Terbuka Australia 2022.