KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara yang beraksi di Piala Sudirman secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan prestasi yang positif biarpun terkandas di peringkat separuh akhir, semalam.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memuji semangat juang tinggi dipamerkan barisan pemain negara yang dibentuk menerusi kombinasi antara pemain kebangsaan dan profesional.
"Saya lihat sebenarnya, persiapan kita sudah sesuatu yang berbeza, belum sempurna tetapi ada perubahan yang positif.
"Semua pemain menunjukkan prestasi yang positif kecuali semalam (tewas kepada Korea Selatan), bukan mahu beri alasan, tetapi pemain kita kurang rehat apabila bermain sehingga malam dan esok paginya perlu bermain lagi.
"Namun, saya puji komitmen semua pemain. Banyak yang tanya mengenai kekalahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), saya setuju prestasi mereka waktu lawan Korea tidak seperti yang kita harapkan tetapi itulah permainan.
"Kita boleh lihat prestasi Aaron-Wooi Yik cukup baik waktu lawan India dan Denmark. Jadi, ini memang sesuatu yang kita sedar dan buat sesuatu untuk persiapkan mereka bagi menghadapi Masters Malaysia," kata Rexy.
Cabaran Malaysia di Piala Sudirman yang berlangsung di Suzhou, China berakhir selepas tewas di tangan Korea 1-3 pada aksi separuh akhir sekali gus terlepas peluang untuk mara mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.
Dalam pada itu, Rexy turut memuji persembahan ditampil pemain perseorangan wanita muda negara, K Letshanaa yang memberi tentangan terhadap lawan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi.
Letshanaa diberi kepercayaan beraksi ketika Malaysia menentang Australia dalam aksi kumpulan yang menyaksikan dia mengatasi Tiffany Ho 21-19, 21-12 sebelum tewas kepada pemain nombor dua dunia dari Korea, An Se Young 10-21, 13-21.
"Letshanaa bermain cukup baik, orang mungkin anggap dia akan kalah teruk tetapi dia menunjukkan prestasi yang positif.
"Persembahan pemain lain juga positif seperti Goh Soon Huat, Shevon Lai Jemie (beregu campuran) dan begitu juga Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki).
"Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi pemain terutama semangat juang tinggi yang ditunjukkan mereka," katanya.