KUALA LUMPUR: Kem beregu badminton negara dilihat bakal menjadi 'penentu' buat perjalanan Malaysia di Piala Sudirman 2023 apabila bertemu Denmark di pentas suku akhir, jam 5 petang ini.
Berdasarkan senarai pemain dipertaruhkan Malaysia di Suzhou, China seperti dikeluarkan laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), skuad beregu negara dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan berbanding pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Goh Jin Wei (wanita).
Berdasarkan turutan, Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu Mathias Christiansen-Alexandra Boje, lawan di ranking ke-18 berbanding mereka ke-22 yang belum pernah ditemui dalam gelanggang sebelum ini.
Kedua-dua beregu ini sudah pernah diturunkan pada aksi sebelum ini dengan mencatat kemenangan ke atas lawan dari Singapura dan Taiwan.
Christiansen-Boje menewaskan Terry Hee-Jessica Tan 21-19, 21-18 pada aksi Kumpulan A bagi membantu pasukannya meraih kemenangan 4-1 ke atas Singapura manakala Tang Jie-Ee Wei turut melakar kemenangan ke atas Terry-Jessica dalam aksi Kumpulan C.
Lee Zii Jia bakal turun untuk aksi kedua bertemu juara dunia dua kali dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang pernah menewaskannya lima kali dalam tujuh pertemuan sebelum ini.
Tentunya ia satu cabaran besar buat Zii Jia yang masih 'kemarau' kejuaraan sejak kali terakhir menjulang trofi Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu.
Goh Jin Wei pula dijadual bertemu Mia Blichfeldt untuk kali keempat dengan tiga pertembungan sebelum ini dimenangi pemain negara di ranking ke-30 dunia itu.
Begitupun, tiga pertemuan lalu tidak boleh dijadikan ukuran tepat memandangkan Jin Wei masih sedang mencari rentak selepas kembali daripada persaraan tahun lalu dengan kali terakhir kedua-duanya bertemu adalah di Kejohanan Antarabangsa Orleans 2016.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih terumbang ambing dengan prestasi selepas meraih gelaran dunia pada tahun lalu dijadual bertemu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Astrup-Rasmussen di atas kertas dilihat mudah buat beregu negara di ranking kedua dunia itu dengan mereka memegang rekod empat kemenangan daripada tujuh pertemuan sebelum ini.
Begitupun Astrup-Rasmussen seakan sudah menunjukkan kebangkitan dengan mereka memenangi dua perlawanan sebelum ini, masing-masing di peringkat Kumpulan B Jelajah Dunia Final 2022 dan Masters Barcelona 2020.
Pearly-Thinaah menjadi senjata terakhir untuk Malaysia dalam pertembungan suku akhir ini, bertemu Alexandra Boje-Maiken Fruergaard yang belum pernah ditemui mereka sebelum ini.
Andai berjaya mencatat kemenangan ke atas Denmark, Malaysia dijadual berentap sama ada Korea Selatan atau pun Taiwan di pusingan separuh akhir.
Pada aksi peringkat kumpulan, Malaysia cemerlang apabila muncul juara selepas menang semua tiga perlawanan menentang Australia 5-0, India 5-0 dan Taiwan 4-1.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.