Khamis, 18 Mei 2023 | 5:21pm
Aksi Pearly Tan-M Thinaah ketika menewaskan gandingan Taiwan, Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun 21-15 19-21 21-15 semalam.
Aksi Pearly Tan-M Thinaah ketika menewaskan gandingan Taiwan, Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun 21-15 19-21 21-15 semalam.

Aura skuad Piala Sudirman lain macam

KUALA LUMPUR: Semangat berpasukan tinggi dimiliki skuad badminton negara yang sedang berjuang dalam saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China ketika ini diyakini mampu membawa pasukan melakar pencapaian terbaik berbanding apa yang pernah diraih sebelum ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata dia dapat merasakan ada satu aura luar biasa dalam skuad kali ini yang dibentuk menerusi kombinasi pemain kebangsaan dan profesional.

"Sebenarnya kita selama ini memang mempunyai pasukan yang baik, cuma kali ini mungkin kita rasa ada satu aura dan semangat berpasukan yang padu dalam kalangan pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan. Masing-masing sentiasa berikan sokongan yang padu antara satu sama lain.

"Ini adalah sesuatu yang positif buat pasukan untuk kita melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini. Jadi, saya harap kita boleh kekalkan perkara ini dan bermain dengan lebih baik lagi untuk kita capai sasaran atau melepasi sasaran yang ditetapkan," kata Rexy.

Bagaimanapun, Rexy, berkata dia dan barisan kejurulatihan tidak mahu pemain fikir terlalu jauh yang boleh mengganggu rentak permainan mereka sebaliknya fokus terlebih dahulu berdepan lawan yang akan ditemui pada aksi suku akhir, esok.

"Kita akan beritahu kepada pemain untuk mereka tidak terlalu tertekan, mereka perlu buang tekanan mereka bagi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi aksi suku akhir.

"Saya tidak mahu pemain fikir terlalu jauh, kita fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu. Kita perlu fikir bagaimana kita perlu bermain untuk perlawanan suku akhir nanti.

"Selepas itu (jika menang) baru kita fikirkan yang seterusnya untuk kita terus lagi berjuang bagi melangkah lebih jauh pada kejohanan kali ini," kata Rexy.

Semangat berpasukan tinggi ditunjukkan barisan pemain negara menyaksikan mereka berjaya menamatkan saingan Kumpulan C selaku juara apabila menang semua ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dengan mengatasi Australia 5-0, India 5-0 dan Taiwan 4-1.

Selaku juara, Malaysia akan diletakkan sebagai pilihan bagi undian peringkat suku akhir yang dijalankan selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan sekali gus mengelak daripada bertemu juara kumpulan lain untuk perebutan tiket ke separuh akhir.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.

Berita Harian X