Rabu, 17 Mei 2023 | 4:15pm
Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sumbang mata pertama ketika menewaskan Taiwan 4-1, hari ini. - Foto ihsan FB BAM
Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sumbang mata pertama ketika menewaskan Taiwan 4-1, hari ini. - Foto ihsan FB BAM

Piala Sudirman: Malaysia juara Kumpulan C

KUALA LUMPUR: Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mengatasi perasaan gementar mereka untuk memacu kemenangan 4-1 Malaysia ke atas Taiwan pada aksi terakhir Kumpulan C saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan gandingan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 17-21, 21-19, 21-17 sekali gus menyumbang mata pertama buat skuad negara dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou itu.

Kedua-dua pemain negara itu mengakui berasa gementar sebelum memasuki gelanggang memandangkan ia adalah penampilan pertama mereka sebagai pasangan pada kejohanan kali ini.

Dalam dua aksi peringkat kumpulan menentang Australia dan India sebelum ini, skuad negara mempertaruhkan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

"Memang gementar tetapi dalam masa yang sama ada rasa teruja kerana dapat mewakili Malaysia dalam Piala Sudirman buat kali pertama sebagai gandingan.

"Ketika set kedua, lawan mendahului kami tetapi saya tetap percaya dengan pasangan saya dan diri saya sendiri. Jurulatih dan rakan sepasukan yang berada di belakang juga memberi sokongan yang padu kepada kami.

"Jurulatih juga bagi strategi yang betul dan mudah untuk kami faham sekali gus kami boleh menang dan sumbang mata pertama Malaysia," kata Tang Jie.

Lee Zii menang 21-14, 23-21 untuk meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0. - Foto FB BAM
Lee Zii menang 21-14, 23-21 untuk meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0. - Foto FB BAM

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya melunaskan dendam ke atas Chou Tien Chen selepas tewas dalam pertemuan terakhir mereka dua tahun lalu apabila kali kini menang 21-14, 23-21 untuk meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0.

Bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei yang mencipta kejutan menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dari India, PV Sindhu, kelmarin bagaimanapun tidak berjaya mengekalkan momentum itu apabila tewas di tangan pemain nombor dua dunia, Tai Tzu Ying 8-21, 10-21 bagi membolehkan Taiwan merapatkan jurang dalam perlawanan berkenaan.

Goh Jin Wei tewas kepada Tai Tzu Ying 8-21, 10-21. - Foto FB BAM
Goh Jin Wei tewas kepada Tai Tzu Ying 8-21, 10-21. - Foto FB BAM

Bagaimanapun, beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin memastikan kemenangan awal Malaysia apabila menundukkan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-8, 23-21 sebelum beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menyumbang mata keempat menerusi kemenangan ke atas Hsu Yang Ching-Teng Chun Hsun 21-15, 19-21, 21-15.

Kemenangan ke atas Taiwan menyaksikan Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas menang 5-0 ke atas Australia dan India dalam dua perlawanan awal sekali gus bakal diletakkan sebagai pilihan bagi undian peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.

Pearly Tan-M Thinaah menyumbang mata keempat menerusi kemenangan ke atas Hsu Yang Ching-Teng Chun Hsun 21-15, 19-21, 21-15. - Foto FB BAM
Pearly Tan-M Thinaah menyumbang mata keempat menerusi kemenangan ke atas Hsu Yang Ching-Teng Chun Hsun 21-15, 19-21, 21-15. - Foto FB BAM

Berita Harian X