Selasa, 16 Mei 2023 | 6:04pm
Beregu wanita negara, M Thinaah dan Pearly Tan menyumbang mata ketika menentang India semalam.
Beregu wanita negara, M Thinaah dan Pearly Tan menyumbang mata ketika menentang India semalam.

Piala Sudirman: Misi muncul juara kumpulan

KUALA LUMPUR: Barisan pemain negara diingatkan untuk kekal fokus menjelang pertemuan dengan Taiwan pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China, esok dalam misi memburu kedudukan teratas kumpulan.

Kemenangan ke atas Taiwan penting bagi membolehkan Malaysia muncul juara kumpulan sekali gus mengelak daripada bertemu juara kumpulan lain dalam undian bagi peringkat suku akhir.

Skuad negara sudah mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas merakam kemenangan kedua dengan menewaskan India 5-0 di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, semalam.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memuji persembahan bertenaga ditampilkan pemain negara pada perlawanan menentang India dan menyifatkan kunci kemenangan dalam perlawanan itu adalah pemain berjaya menterjemahkan apa yang dipelajari ketika sesi latihan.

"Pertama sekali terima kasih kepada Tuhan kerana kita berhasil untuk menewaskan pasukan India. Semangat pasukan dan semua pemain sangat baik dan bagus dan hasilnya mereka berjaya mempamerkan aksi yang bertenaga.

"Jadi, apa yang kita buat ketika 'work out' dan sesi latihan kepada pemain ini, mereka dapat menterjemahkannya diatas gelanggang. Malah, semangat pemain semua sangat positif sekali gus membuatkan pasukan tidak goyah.

"Malah pemain dilihat sangat tenang dalam fikiran mereka dan itu saya rasa antara kunci kemenangan kita menentang India," katanya.

Mengenai barisan pemain yang akan diturunkan pada pertemuan menentang Taiwan, Rexy memberitahu perkara berkenaan hanya akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan antara barisan jurulatih dan pemain.

Katanya, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum memuktamadkan senarai pemain yang akan diturunkan pada aksi terakhir Kumpulan C itu.

Berita Harian X