KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tiket awal ke suku akhir Piala Sudirman 2023 dengan penuh bergaya selepas menewaskan India 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan C di Suzhou, China, sebentar tadi.
Selepas mengatasi Australia 5-0 dalam aksi pembukaan, semalam, dua tempat teratas sudah terjamin buat skuad negara dengan aksi terakhir menentang Taiwan, Rabu ini bakal menjadi penentu gelaran juara dan naib juara kumpulan.
Taiwan turut merekodkan dua kemenangan selepas menewaskan India 4-1, semalam sebelum mengatasi Australia 5-0, hari ini.
Pada aksi menentang India di Pusat Sukan Olimpik Suzhou itu, kelibat pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei paling mencuri tumpuan apabila dia melakar kejutan menewaskan juara dunia 2019, PV Sindhu dalam perlawan ketiga.
Ia adalah kemenangan pertama Jin Wei ke atas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu selepas tewas dalam empat pertemuan sebelum ini.
Terdahulu, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menyumbang mata pertama skuad negara selepas melakar kemenangan ke atas Dhruv Kapila-Ashwini Ponappa 21-16, 21-17 sebelum pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia meletakkan Malaysia selesa di depan menerusi kemenangan ke atas K Srikanth 21-16, 21-11.
Jin Wei menyumbang mata ketiga skuad negara menerusi kemenangan 14-21, 21-10, 22-20 ke atas Sindhu sebelum juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetepikan cabaran Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-19.
Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang menjadi wakil terakhir turun beraksi melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-15, 21-13.