KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran, Tan Kian Meng mengakui memikul tanggungjawab besar selepas dipilih sebagai kapten skuad badminton negara bagi kempen Piala Sudirman 2023 yang berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei ini.
Kian Meng, berkata selaku kapten dia akan menjadi 'jambatan' antara pemain profesional, Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan barisan jurulatih.
"Saya berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi kapten pasukan. Ini adalah tanggungjawab yang besar.
"Antara tugas saya ada menjadi penghubung antara pemain dan jurulatih. Sebagai pemain senior saya harap saya mampu untuk membantu pasukan di Piala Sudirman," katanya.
Menurut Kian Meng, pasukan ketika ini berada dalam 'mood' terbaik dan semua pemain bersemangat tinggi bagi memulakan kejohanan di Suzhou itu.
Katanya, ketika ini semua pemain yang terlibat memberi fokus untuk menaikkan prestasi sambil cuba mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan serius sebelum perlawanan.
"Semua pemain berada dalam motivasi terbaik. Semua yang masuk dalam ini merupakan pemain Malaysia dan bukan kebangsaan atau profesional.
"Malah baru-baru ini kita juga ada menyertai kem bina semangat yang banyak membantu meningkat motivasi pemain. Saya percaya kami semua akan beri aksi yang terbaik di kejohanan berkenan," katanya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan membuka tirai saingan Piala Sudirman 2023 menentang Australia pada Ahad ini sebelum bertemu India sehari kemudian dan menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Taiwan pada Selasa.
Pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan berpasukan campuran itu adalah meraih pingat gangsa pada edisi Vantaa 2021 dan Guangzhou 2009.