MADRID: Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz berada di laluan tepat untuk meraih gelaran keempatnya bagi kempen 2023 selepas mara ke separuh akhir Terbuka Madrid, awal pagi tadi.
Alcaraz mencatatkan kemenangan straight set 6-4, 7-5 ke atas pemain Russia, Karen Khachanov dalam misi memburu gelaran diidamkannya.
Dalam mempertahankan gelaran dimilikinya tahun lalu, Alcaraz yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-20 esok sama ada dengan mencatat kemenangan ke atas pemain Croatia, Borna Coric ataupun Daniel Altmaier dari Jerman di pentas separuh akhir keenamnya di kejohanan berstatus Masters 1000.
Alcaraz berjaya mematahkan servis pemain Russia itu untuk memuktamadkan set pertama dengan kemenangan 6-4.
Namun pemain Sepanyol itu seakan terganggu di awal set kedua dan membenarkan Khachanov mendahului 4-1 sebelum bangkit untuk memenangi perlawanan dalam tempoh bawah dua jam.
"Memenangi perlawanan ini memberikan saya banyak keyakinan," kata Alcaraz. "Karen pernah bermain di tahap tinggi dan membawa saya ke kemuncaknya, ia hanya dapat ditentukan dengan butiran kecil saja.
"Saya akan berlatih untuk (aksi) Jumaat ini, tetapi dengan penuh tenang, saya tidak mahu berada dalam keadaan tertekan dan perlu segar untuk perlawanan itu."
Alcaraz sudah meraih 18 kemenangan berturut-turut di kejohanan gelanggang tanah liat di Sepanyol sejak tewas kepada Rafael Nadal di Madrid, dua tahun lalu. - REUTERS