KUALA LUMPUR: Hajat beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) musnah apabila tumpas pada aksi final di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebentar tadi.
Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi harus menyalahkan diri sendiri apabila sepatutnya mampu menjuarai kejohanan itu tetapi kegagalan mengekalkan rentak dan banyak melakukan kesilapan menyebabkan mereka terpaksa menggigit jari apabila tumpas 21-16, 17-21, 19-21 kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Malah, kekalahan itu menyaksikan anak didik Rosman Razak yang menduduki ranking kelapan dunia kempunan untuk merasai kembali nikmat bergelar juara selepas kali terakhir menjuarai Thailand Masters 2020.
Malah, mereka terlepas peluang menamatkan kemarau 16 tahun Malaysia dalam acara itu selepas kali terakhir beregu negara menjuarainya adalah pada edisi 2007 di Johor Bahru menerusi kejayaan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menewaskan rakan sepasukan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-14, 11-21, 21-12.
Yew Sin-Ee Yi turut kempunan meletakkan nama mereka dalam senarai enam beregu lelaki negara yang pernah memenangi kejuaraan Asia itu selepas Ng Boon Bee-Tan Yee Khan memenanginya pada 1962, Datuk Punch Gunalan-Ng Boon Bee (1969), Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek (1992), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1995) dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (2006 dan 2007).
Pada set pertama aksi final di Dewan Tertutup Sheikh Rashid Bin Hamdan itu, Yew Sin-Ee Yi dan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang mempunyai rekod seimbang 3-3 dalam enam pertemuan sebelum ini saling bertukar mata sebelum pasangan negara menjarakkan kedudukan 18-13 dan memenanginya dengan 21-16.
Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi menolak tuah apabila mendahului 8-3 pada satu ketika di set kedua tetapi mereka gagal mengekalkan rentak apabila lawan yang menduduki ranking keenam dunia bangkit mengejar sebelum mendahului 16-14 dan menamatkan perlawanan 21-17 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Pada aksi set penentuan, Yew Sin-Ee Yi bermula baik apabila mendahului 8-5, 11-8, 14-10 tetapi kegagalan mereka mengekalkan rentak dan sering melakukan kesilapan membolehkan lawan bangkit mengejar 15-13, 15-15 sebelum mendahului 17-16.
Pasangan India itu tidak menoleh ke belakang apabila mendahului 18-16, 19-17 sebelum melengkapkan kemenangan dengan 21-19 dalam aksi sejam enam minit.